CARACAS: Dua kejadian gempa bumi kuat yang berlaku secara berturut-turut telah menggegarkan Venezuela pada petang Rabu mengakibatkan beberapa bangunan runtuh di ibu negara, Caracas.
Menurut Tinjauan Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi pertama bermagnitud 7.1 dikesan berpusat di barat komuniti Morón yang terletak di sepanjang pantai Caribbean negara itu, kira-kira 168 kilometer (km) ke barat Caracas. Gempa tersebut dilaporkan berlaku pada kedalaman 13km.
Hanya seminit kemudian, USGS melaporkan satu lagi gempa bumi yang lebih kuat bermagnitud 7.5. Gempa kedua itu dikesan pada kedalaman 10km dengan pusat gempa terletak 16km ke barat daya Morón.
Siri gegaran berkembar ini dikategorikan antara yang paling kuat melanda Venezuela dalam tempoh lebih satu abad.
Susulan itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik AS telah mengeluarkan amaran tsunami bagi Kepulauan Virgin. Pihak berkuasa di Republik Dominica turut mengeluarkan amaran serupa untuk wilayah pulau berkenaan, manakala satu lagi amaran yang dikeluarkan untuk Puerto Rico telah ditarik balik dalam tempoh yang singkat. Penduduk di Caracas bergegas keluar menyelamatkan diri selepas bangunan-bangunan mula bergoyang dan memilih untuk terus berada di luar rumah.
Ramai antara mereka berada dalam keadaan trauma selepas menyaksikan dinding-dinding bangunan runtuh sepenuhnya sehingga menampakkan perabot dari arah jalan raya. Tiang debu turut kelihatan di dua buah kawasan kejiranan di ibu negara yang kebiasaannya sibuk dengan aktiviti restoran dan perniagaan lain.
Menteri Dalam Negeri, Diosdado Cabello memaklumkan bahawa gegaran itu turut dirasai di beberapa buah negeri. Beliau berkata, kawasan kejiranan Altamira di Caracas berdepan situasi mencemaskan membabitkan rumah dan bangunan yang runtuh.
Beliau turut membayangkan terdapat mangsa yang mengalami kecederaan dalam bencana tersebut dan menggesa pengguna jalan raya agar memberikan laluan kepada ambulans dan kenderaan kecemasan yang lain.
“Kami memahami bahawa sebahagian penduduk mungkin berada dalam keadaan panik. Namun, kami sedang bertindak mengikut protokol bagi mengaktifkan usaha bantuan dan menyelamat untuk membantu mereka yang paling memerlukan,” kata Cabello menerusi siaran televisyen kerajaan.
“Berikan perhatian sepenuhnya kepada kanak-kanak dan warga emas, hubungi satu sama lain dan pastikan tiada ahli keluarga yang tercedera,” tambahnya.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya terus berada di luar bangunan memandangkan gempa susulan boleh mengakibatkan kerosakan yang lebih buruk pada struktur yang sedia terjejas.
Sementara itu, seorang penduduk Caracas, Roberto Damas menceritakan detik cemas apabila mendapati bangunan yang didiaminya bergoncang hebat dari sisi ke sisi.
“Ia kelihatan tidak masuk akal. Kekuatan gegaran itu luar biasa kuat. Kami sedang berjalan dan hayunan gempa itu seolah-olah mencampak kami ke sana kemari.
“Segala barangan di dalam pangsapuri jatuh menyembah bumi. Bagaimanapun, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana kami sempat menyelamatkan diri ke luar,” katanya. -AGENSI






