TOKYO: Periuk dan kuali terjatuh dari kabinet dapur manakala kamera keselamatan bergoyang dengan kuat tetapi tiada kematian atau kerosakan besar dilaporkan selepas gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.2 melanda perairan utara Jepun pada Khamis.
Gegaran dirasai sehingga beratus-ratus kilometer jauhnya di Tokyo susulan gempa yang berlaku di laut berhampiran Wilayah Iwate di pulau utama Honshu pada jam 7.30 pagi waktu tempatan.
Tiada amaran tsunami dikeluarkan.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memaklumkan magnitud gempa pada awalnya dianggarkan 6.9 sebelum disemak semula kepada 7.2. Pusat gempa berada pada kedalaman 44 kilometer.
Seorang pekerja syarikat pemprosesan makanan di bandar Hashikami, Wilayah Aomori Prefecture, Mutsumi Shimohata, 61 berkata, satu-satunya kerosakan di rumahnya ialah bingkai gambar yang terjatuh.
“Gempa berlaku ketika saya berada di rumah dan penggera (telefon pintar) berbunyi beberapa saat kemudian. Saya terkejut dan gegaran itu terasa agak lama,” katanya kepada AFP.
“Tiada kerosakan pada rumah kami, tetapi syarikat meminta kami kekal di rumah dan bersedia kerana pintu automatik pejabat tidak dapat dibuka manakala sebahagian siling runtuh,” tambahnya.
Rakaman televisyen Jepun menunjukkan kabinet dapur menghamburkan periuk dan kuali ke lantai, manakala barangan di beberapa kedai turut bertaburan.
Sebahagian perkhidmatan kereta api laju laju digantung sementara dan seorang guru besar sekolah rendah memberitahu penyiar awam NHK bahawa sekolahnya di Hashikami ditutup sementara akibat gempa tersebut.
Jabatan bomba bagi kawasan Hashikami dan Hachinohe menerima sekurang-kurangnya empat panggilan kecemasan, termasuk laporan mengenai individu yang terperangkap dalam lif, menurut NHK.
Terdapat juga laporan mengenai pintu yang tersekat serta sebuah lori tangki yang terbalik.
“Setakat ini, tiada maklumat menunjukkan berlakunya korban jiwa. Namun, kami akan terus memantau dan menilai keadaan kerosakan,” kata jurucakap kanan kerajaan Jepun, Minoru Kihara.
Tiada sebarang keadaan luar biasa dilaporkan di loji tenaga nuklear di kawasan berkenaan, menurut Pihak Berkuasa Kawal Selia Nuklear seperti dipetik oleh Kyodo News.
NHK turut menyiarkan keadaan trafik yang berjalan seperti biasa di Hachinohe dengan lampu isyarat masih berfungsi.
Gegaran dicatatkan di Aomori pada tahap 6 atas dalam skala intensiti seismik tujuh peringkat Shindo yang digunakan di Jepun.
Pada tahap itu, seseorang mungkin tidak dapat berdiri tanpa sokongan dan boleh terjatuh akibat gegaran, manakala perabot yang tidak dipasang kukuh berkemungkinan tumbang serta tingkap boleh pecah, menurut JMA.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi, mengarahkan kementerian dan agensi kerajaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan. – AFP






