TEHERAN: Kadar inflasi di Iran meningkat mendadak pada Jun, didorong oleh perang di Asia Barat dengan mencecah 88.6 peratus tahun ke tahun, menurut angka rasmi yang dikeluarkan pada Sabtu.
Menurut Pusat Statistik Iran, sepanjang bulan Khordad dalam kalendar Parsi (22 Mei hingga 21 Jun), harga makanan meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu, di negara yang sekian lama dibelenggu hiperinflasi akibat sekatan antarabangsa.
Harga roti dan bijirin meningkat 138.8 peratus, susu, keju dan telur naik 151.9 peratus, manakala harga daging merah serta ayam melonjak 178.2 peratus.
Kadar inflasi tahun ke tahun berada pada paras 68 peratus pada Februari, sebelum tercetusnya perang yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel terhadap republik Islam itu.
Pada Disember 2025, ketika protes terhadap peningkatan kos sara hidup tercetus yang kemudian berkembang menjadi tuntutan politik, kadar inflasi meningkat kepada 52.6 peratus tahun ke tahun.
Statistik Iran dilaporkan setiap bulan berdasarkan kalendar Parsi dengan setiap tahun bermula pada bulan Mac.
Sejak bertahun-tahun lalu, ekonomi Iran terjejas akibat hiperinflasi yang berpanjangan dan penyusutan mendadak nilai mata wang negara itu, rial. Sebahagian besarnya berpunca daripada sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas negara itu. – AFP






