TEHERAN: Pengawal Revolusi Iran memaklumkan pada Ahad bahawa mereka telah melancarkan serangan ke atas Kuwait dan Bahrain sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas wilayah negara itu.
Teheran turut memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan lanjut akan dibalas dengan tindak balas yang menghancurkan.
Iran dan Amerika Syarikat (AS) saling menuduh pihak lawan melanggar gencatan senjata yang rapuh, sekali gus menjejaskan rundingan yang bertujuan menamatkan perang di Asia Barat.
Pengawal Revolusi berkata mereka telah memusnahkan lapan kemudahan tentera penting AS di pangkalan Ali al-Salem di Kuwait serta di pangkalan tentera laut Armada Kelima di Pelabuhan Salman, Bahrain, menurut satu kenyataan.
“Sebarang pencerobohan musuh, tanpa mengira apa jua alasan, walaupun menyasarkan sasaran yang tidak penting. akan menerima tindak balas yang menghancurkan,” tambah kenyataan itu.
Satu memorandum persefahaman telah dicapai pada pertengahan Jun menerusi pengantaraan Pakistan yang bertujuan menamatkan perang itu secara berkekalan.
Teks memorandum yang ditandatangani oleh AS dan Iran menyatakan bahawa kedua-dua negara, serta sekutu masing-masing, tidak akan memulakan sebarang peperangan atau operasi ketenteraan terhadap satu sama lain.
Ia juga menyatakan kedua-dua pihak akan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan antara satu sama lain.
Tentera AS mengebom Iran untuk hari kedua berturut-turut pada Sabtu, yang menurutnya sebagai tindak balas terhadap serangan Iran ke atas sebuah kapal tangki di Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik.
Di bawah memorandum persefahaman itu, Iran bersetuju membenarkan laluan selamat bagi kapal-kapal perdagangan tanpa sebarang caj, untuk tempoh 60 hari sahaja dari Teluk Parsi ke Laut Oman dan sebaliknya melalui selat tersebut.
Pengawal Revolusi berkata pada Ahad bahawa langkah-langkah telah diambil untuk mengawal trafik di Selat Hormuz dan kapal yang melanggar peraturan akan dikenakan tindakan yang lebih tegas berbanding sebelum ini.
Mereka turut memberi amaran pada Khamis bahawa tiada kapal dibenarkan melalui selat itu tanpa kebenaran mereka.
Perkembangan itu berlaku selepas Oman, yang terletak di pesisir bertentangan dengan Iran, mencadangkan satu laluan alternatif.
Buat masa ini, satu-satunya laluan yang dibenarkan oleh Iran ialah melalui koridor perkapalan yang terletak di sepanjang pantainya. – AFP/AGENSI






