TEHERAN: Ketegangan memuncak di Asia Barat selepas Iran dan Amerika Syarikat (AS) selaing berbalas serangan sejak Jumaat lalu. Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) turut mengancam akan menghentikan sepenuhnya rundingan damai dengan AS jika Washington meneruskan serangan terhadap republik Islam itu.
Amaran itu dikeluarkan selepas Teheran melancarkan serangan terhadap beberapa kemudahan tentera termasuk ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain. Kuwait turut menjadi sasaran serangan Iran.
Amaran terbaharu IRGC yang disiarkan akhbar milik kerajaan merupakan ancaman paling keras dibuat setakat ini selepas rundingan berhubung perjanjian antara Iran dan AS di adakan di Burgenstock, Switzerland, dengan pengantaraan Pakistan serta Qatar. pada 21 sehingga 22 Jun lalu.
Perjanjian itu mewujudkan tempoh 60 hari bagi kedua-dua negara merundingkan penyelesaian kekal untuk menamatkan perang selepas AS bersama Israel menyerang Teheran pada 28 Februari. Ia kemudian mencetuskan serangan balas Iran di Emiriyah Arab Bersatu, Israel, Kuwait, Bahrain dan Arab Saudi.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan gencatan senjata pada 7 April sehingga rundingan bagi menamatkan perang diadakan di Switzerland.
Dalam kenyataan itu, IRGC berkata, pasukan tentera laut dan aeroangkasanya melancarkan serangan ke atas Bahrain dan Kuwait antara pukul 2 pagi hingga 3 pagi waktu tempatan sebagai tindak balas terhadap serangan udara AS yang menyasarkan 10 lokasi di Iran.
Iran turut mendakwa serangan udara AS pada Ahad menyasarkan beberapa kemudahan pemantauan dan pengawasan di pesisir selatan negara itu dan menyifatkannya sebagai pencabulan terhadap perjanjian interim yang bertujuan menamatkan perang yang berlarutan selama empat bulan.
“Serangan kejam ini membuktikan AS langsung tidak menghargai komitmen yang dibuat dan memungkiri janji,” menurut Kementerian Luar Iran dalam satu kenyataan.
Iran menegaskan negara itu bertekad mempertahankan kedaulatannya susulan serangan keganasan terbaharu AS ketika gencatan senjata rapuh dalam perang Asia Barat terus berada dalam keadaan tidak menentu.
Iran dan AS saling menuduh antara satu sama lain melanggar syarat gencatan senjata.
Kuwait memaklumkan sistem pertahanan udaranya berjaya memintas peluru berpandu dan dron Iran dengan pihak tentera menjelaskan bunyi letupan yang kedengaran di beberapa kawasan negara itu berpunca daripada operasi pemintasan.
Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri Bahrain memaklumkan menerusi media sosial bahawa sebuah bangunan kediaman di kawasan Muharraq mengalami kerosakan akibat serangan itu. Namun, tiada kematian dilaporkan.
Pihak berkuasa Bahrain turut mengaktifkan siren kecemasan dan menggesa penduduk supaya bertenang serta segera menuju ke lokasi perlindungan yang selamat.
Menurut IRGC, serangan itu menyasarkan Pangkalan Udara Ali Al Salem di Kuwait dan ibu pejabat Armada Kelima Tentera Laut AS di Bahrain, selain beberapa kemudahan ketenteraan lain.
Tentera AS pada Sabtu mengesahkan melancarkan serangan ke atas 10 sasaran tentera Iran di beberapa lokasi di Selat Hormuz dan kawasan berhampirannya atas arahan Presiden, Donald Trump.
Markas Pusat AS (CENTCOM) menerusi media sosial memaklumkan pesawat tenteranya menyasarkan infrastruktur pemantauan tentera Iran, sistem komunikasi, tapak pertahanan udara, kemudahan penyimpanan dron dan keupayaan peletakan periuk.
Operasi terbaharu itu dilancarkan selepas Iran didakwa sekali lagi menyerang sebuah kapal perdagangan menggunakan dron.
Dron itu menyerang kapal tangki berbendera Panama, M/T Kiku di Selat Hormuz dengan membawa lebih dua juta tong minyak mentah.
Trump pada Sabtu memberi amaran Iran tidak akan lagi wujud jika AS dipaksa menyambung semula peperangan kerana Teheran melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Pesawat AS baru sahaja menyerang lokasi simpanan peluru berpandu dan dron Iran serta tapak radar pantai kerana melanggar perjanjian gencatan senjata,” kata Trump menerusi platform Truth Social miliknya.






