BEIRUT: Kerosakan langsung terhadap bangunan-bangunan di selatan Lubnan dalam peperangan terbaharu antara Israel dan Hizbullah dianggarkan mencecah kira-kira AS$1.38 bilion (RM5.71 bilion), menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan sebuah pusat penyelidikan Lubnan pada Isnin.
“Secara keseluruhan, sebanyak 11,095 buah bangunan musnah sepenuhnya, menjejaskan 17,891 unit kediaman, manakala 2,242 bangunan mengalami kerosakan separa dan 9,311 bangunan lagi mengalami kerosakan kecil,” jelas Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Majlis Kebangsaan bagi Penyelidikan Saintifik (CNRS) yang dikendalikan kerajaan Lubnan.
Laporan itu memetik penilaian pantas kerosakan peringkat bangunan di selatan negara itu yang membandingkan imej satelit dari akhir April iaitu hampir dua bulan selepas perang terbaharu meletus dengan imej dari Oktober 2025. Ini bermakna data tersebut tidak merangkumi kerosakan yang berlaku dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.
“Hasil kajian menunjukkan bahawa kerosakan langsung terhadap bangunan di selatan Lubnan dianggarkan berjumlah AS$1.38 bilion (RM5.71 bilion),” tambah kenyataan itu.
Hizbullah telah mengheret Lubnan ke dalam konflik Asia Barat pada 2 Mac lalu dengan melancarkan serangan roket ke arah Israel bagi menyokong sekutunya, Iran.
Israel membalas tindakan itu dengan serangan udara besar-besaran dan pencerobohan darat. Tentera rejim itu kini beroperasi di dalam jalur wilayah sempadan sedalam kira-kira 12 kilometer di dalam Lubnan di mana mereka menjalankan operasi meruntuh dan meratakan bangunan secara meluas.
Kedua-dua pihak didapati tidak menghormati perjanjian gencatan senjata pada 17 April lalu dan pertempuran hanya reda pada petang Sabtu selepas konflik itu dilaporkan hampir menjejaskan perjanjian yang ditandatangani minggu lalu antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) untuk menamatkan perang Asia Barat yang lebih luas.
Sebahagian penduduk mula pulang ke wilayah selatan sejak dua hari lalu untuk memeriksa rumah serta premis perniagaan mereka yang rosak. Ia dilaklukan meskipun tentera Lubnan telah menggesa mereka untuk menangguhkan seketika kepulangan ke kampung dan bandar di kawasan sempadan. – AGENSI






