CARACAS: Peluang untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin tipis ketika operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan selepas dua gempa bumi dahsyat melanda Venezuela.
Presiden sementara Venezuela, Delcy Rodriguez berkata, sekurang-kurangnya 33 orang termasuk beberapa kanak-kanak berjaya diselamatkan setakat hujung minggu lalu.
Jumlah korban akibat dua gempa bumi yang berlaku pada 24 Jun lalu meningkat melebihi 1,400 orang. Pasukan penyelamat asing terus membanjiri wilayah pantai La Guaira yang paling teruk terjejas.
Pasukan penyelamat dari luar negara terus tiba di kawasan bencana dengan lebih 1,600 anggota penyelamat asing dikerahkan bagi membantu operasi.
Namun, usaha awal banyak digerakkan keluarga dan sukarelawan yang mengadu kekurangan peralatan berat serta pasukan penyelamat ketika mereka berusaha mengeluarkan mangsa dari runtuhan.
Ratusan gempa susulan turut memburukkan lagi keadaan dan menyebabkan penduduk berada dalam ketakutan.
Kerajaan sementara yang dipimpin Rodríguez sebelum ini menghargai bantuan sukarelawan yang membawa bekalan ke La Guaira.
Bagaimanapun, akses ke laluan utama kemudian diperketatkan dengan alasan kesesakan mengganggu pergerakan kenderaan kecemasan dan hanya individu bertauliah dibenarkan menggunakan jalan tersebut.
Walaupun kerajaan memberikan angka ratusan orang masih hilang atau terperangkap, sebuah laman web yang dipromosikan pembangkang negara itu melaporkan hampir 50,000 orang masih belum dapat dikesan setakat Ahad.
Angka itu menunjukkan penurunan kecil berbanding Sabtu, apabila kira-kira 55,000 orang disenaraikan sebagai hilang.
Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pula menganggarkan lebih 10,000 kematian mungkin berlaku akibat gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 skala Richter, sekali gus berpotensi menjadikannya antara bencana paling maut di Amerika Latin dalam tempoh satu abad.
Dalam pada itu, usaha menyelamat masih giat dijalankan ketika masa semakin suntuk untuk mencari mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.
“Tempoh masa kira-kira tiga hari, iaitu 72 jam, adalah kritikal kerana selepas itu kebarangkalian untuk menyelamatkan mangsa hidup akan menurun,” kata ketua pasukan penyelamat Switzerland, Sebastian Eugster, kepada Reuters pada Sabtu. – AGENSI






