MOSCOW: Presiden Russia, Vladimir Putin, mengakui negaranya berdepan kekurangan bekalan bahan api susulan siri serangan Ukraine ke atas infrastruktur tenaga tetapi menegaskan situasi itu masih terkawal.
Dalam temu bual yang disiarkan Kremlin kelmarin, Putin berkata, serangan berterusan Ukraine terhadap kemudahan kritikal Russia sememangnya menimbulkan masalah kepada negara itu.
“Buat masa ini kami sedang mengalami sedikit kekurangan (bekalan bahan api). Namun, keadannya tidak kritikal,” kata Putin.
Beliau berkata, keutamaan kerajaan ketika ini adalah meningkatkan keupayaan sistem pertahanan udara Russia serta memastikan bekalan bahan api terus mencukupi, khususnya ke Semenanjung Crimea.
Kyiv menyifatkan serangan itu sebagai tindak balas wajar terhadap bedilan hampir setiap hari oleh Russia ke atas orang awam dan infrastruktur tenaga Ukraine sejak Moscow melancarkan serangan pada Februari 2022.
Dalam temu bual sama, Putin turut menjangkakan pasukan perunding Amerika Syarikat (AS) akan berkunjung ke Moscow. Ia adalah bagi membincangkan usaha menamatkan perang di Ukraine, sebaik sahaja Washington tidak lagi tertumpu kepada konflik Iran dan Asia Barat.
Jumaat lalu, pihak berkuasa di Crimea yang dikuasai Russia mengisytiharkan darurat susulan kekurangan bekalan bahan api dan gangguan elektrik akibat serangan Ukraine ke atas rangkaian logistik serta kemudahan minyak di wilayah itu.
Russia mengambil alih Crimea daripada Ukraine pada 2014 tetapi tindakan itu tidak diiktiraf oleh sebahagian besar negara di dunia.
Beberapa jam sebelum itu, ketika berucap pada kongres parti Bersatu Russia, Putin berikrar akan memastikan keselamatan negara terus terpelihara dan mengatasi segala cabaran ketika Ukraine meningkatkan serangan balas di dalam negara.
“Kami juga pasti akan mengatasi semua cabaran yang dihadapi ketika ini, termasuk serangan pengganas ke atas wilayah dan kemudahan infrastruktur kami,” kata Putin.
Ucapan Putin dibuat beberapa jam selepas serangan dron Ukraine mengorbankan seorang individu di wilayah selatan Krasnodar, selain mencetuskan kebakaran di sebuah kilang penapisan minyak, menurut Gabenor wilayah itu, Veniamin Kondratyev.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menyifatkan serangan tersebut sebagai sebahagian daripada operasi yang melemahkan keupayaan Russia untuk meneruskan peperangan. – AFP






