TOULOUSE: Jutaan rakyat Australia bakal menikmati perkhidmatan penerbangan tanpa henti pertama antara Sydney dan London kendalian syarikat penerbangan Qantas, menjelang Oktober tahun depan.
Syarikat penerbangan nasional Australia itu secara rasmi mendedahkan pesawat Airbus A350-1000ULR pertamanya di kemudahan pembuatan mereka di Toulouse, Perancis, pada Rabu.
Penerbangan terus selama 22 jam antara Sydney dan London itu bakal menjadi laluan penumpang tanpa henti paling jauh di dunia. Rekod tersebut ketika ini dipegang oleh Singapore Airlines bagi penerbangan terus sejauh 15,300 kilometer (km) ke New York, yang mengambil masa hampir 19 jam.
Menurut Qantas, laluan baharu itu dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan penumpang ke United Kingdom (UK) sehingga empat jam berbanding perkhidmatan transit sedia ada.
Pesawat berkenaan direka untuk memuatkan 238 penumpang yang terbahagi kepada enam suit kelas pertama, 52 suit perniagaan, 40 tempat duduk ekonomi premium dan 140 tempat duduk ekonomi
Menariknya, sebuah zon kesejahteraan akan disediakan untuk semua penumpang yang menawarkan hidangan sihat layan diri bagi mengekalkan hidrasi badan di altitud tinggi. Program regangan badan turut akan ditayangkan sepanjang penerbangan.
Tiket bagi fasa pertama perkhidmatan yang dinamakan Project Sunrise bagi laluan Sydney ke London ini akan mula dijual pada Februari 2027.
Menteri Perdagangan dan Pelancongan Australia, Don Farrell berkata, setiap tahun jutaan manusia melakukan perjalanan antara Australia dan UK untuk melawat keluarga, bercuti atau atas urusan perniagaan.
“Bermula 2027, perjalanan ini akan menjadi lebih selesa, pantas dan mudah. Ini merupakan satu pencapaian penting bagi sektor penerbangan dan pelancongan di Australia serta UK, sekali gus membuktikan keakraban hubungan persahabatan antara kedua-dua negara,” katanya.
Bagi membolehkan penerbangan jarak jauh melebihi 16,000km ini direalisasikan, pesawat berkenaan telah dilengkapi dengan tangki bahan api tambahan berkapasiti 20,000 liter. Sebuah lagi pesawat kini sedang menjalani proses ujian dan pensijilan sebagai sebahagian daripada ‘Project Sunrise’.
Perkhidmatan terbaharu Qantas ini akan beroperasi bersama-sama laluan sedia ada yang menghubungkan Perth ke London serta laluan Sydney ke London menerusi Singapura. -AGENSI






