LONDON: Pemerintah Britain, Raja Charles III telah membayar lebih £30 juta (RM163 juta) cukai peribadi sejak menaiki takhta pada September 2022, menurut pengumuman Istana Buckingham pada Khamis.
Pendedahan itu dibuat kali pertama oleh seorang Raja Britain yang sedang memerintah.
Istana Buckingham yang sebelum ini mengesahkan pada hujung minggu lalu bahawa ia akan membuat pendedahan luar biasa berkata, langkah itu adalah sebahagian daripada komitmen terhadap ketelusan ketika kewangan keluarga diraja semakin mendapat perhatian umum.
Anak sulung dan pewaris takhta, Putera William, turut buat pertama kali mendedahkan maklumat cukai peribadinya. Beliau membayar lebih £20 juta (RM108 juta) cukai sejak mewarisi gelaran Putera Wales apabila bapanya menjadi raja.
Raja Britain dikecualikan daripada kewajipan membayar beberapa jenis cukai mengikut undang-undang. Namun, mereka secara sukarela telah membayar sebahagian cukai sejak beberapa dekad lalu. Raja Britain itu tidak diwajibkan mendedahkan jumlah cukai peribadinya.
“Jumlah cukai yang perlu dibayar oleh Raja Britain sejak menaiki takhta melebihi £30 juta,” menurut kenyataan istana dalam satu siaran media yang turut mengemas kini pelbagai aspek berkaitan kewangan diraja.
Raja Charles menaiki takhta pada 10 September 2022.
Bagaimanapun, jumlah bagi tempoh 2022 hingga 2023 tidak didedahkan.
William, 44, pula membayar lebih £20 juta dalam bentuk cukai pendapatan dan cukai keuntungan modal sejak mewarisi gelaran Putera Wales apabila bapanya menjadi raja.
Beliau membayar £8.34 juta (RM45 juta) bagi tahun cukai 2023-2024 dan £7.76 juta (RM42 juta) bagi tahun cukai 2024-2025.
Namun, Raja Charles memecahkan amalan tradisi apabila membuat pendedahan itu selepas menjadi iaja. Ibunya dan pemerintah terdahulu, mendiang Ratu Elizabeth II, tidak pernah berbuat demikian sepanjang tempoh pemerintahannya selama tujuh dekad. – AFP






