MOSCOW: Serangan besar-besaran tentera Ukraine ke atas Semenanjung Crimea yang dikuasai Russia mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa, selain memaksa pihak berkuasa yang disokong Moscow pada Ahad menggantung jualan bahan api di wilayah berkenaan, semalam.
Ukraine mengesahkan pihaknya menyasarkan fasiliti ketenteraan dan tenaga di Crimea yang menjadi pangkalan logistik utama Moscow sepanjang kempen ketenteraan selama empat tahun ini dalam salah satu serangan terbesar ke atas semenanjung itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Akibat serangan dron musuh di semenanjung Kerch, malangnya terdapat kemalangan jiwa dalam kalangan penduduk awam,” kata Gabenor Crimea yang disokong Russia, Sergey Aksyonov merujuk kepada sebahagian kawasan Crimea yang bersempadan dengan Russia.
“Mengikut maklumat terkini, empat orang terkorban, manakala 28 yang lain cedera,” tambahnya.
Dalam satu kenyataan berasingan, Aksyonov memaklumkan bermula pukul 9 pagi waktu tempatan Ahad, jualan bahan api di stesen-stesen minyak Crimea digantung serta-merta dan bekalan itu kini hanya dihadkan untuk kegunaan perusahaan milik kerajaan sahaja.
Serangan berskala besar itu turut mengorbankan seorang individu di atas sebuah feri dan menyerang sebuah terminal minyak di wilayah Krasnodar di selatan Russia yang bersempadan dengan Crimea.
Sebahagian Semenanjung Crimea yang’ ‘dirampas’ secara rasmi oleh Russia pada tahun 2014 dilaporkan terputus bekalan elektrik ekoran serangan tersebut, menurut syarikat utiliti tempatan, Krymenergo.
Dalam perkembangan berasingan, serangan balas oleh tentera Russia di timur Ukraine pada sebelah malam pula dilaporkan telah mengorbankan tiga orang penduduk.
“Malam tadi, ‘sekatan jarak jauh’ kami telah menyasarkan logistik ketenteraan, industri minyak dan sistem pertahanan udara pihak penjajah,” kata Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky melalui satu kenyataan di media sosial.
Ukraine sering menyifatkan serangan balasnya ke atas wilayah Russia dan kawasan yang diduduki sebagai ‘sekatan jarak jauh’ dan menolak dakwaan bahawa mereka sengaja menyasarkan penduduk awam.
“Semua ini adalah tindak balas yang adil terhadap serangan kejam Russia ke atas rakyat kami,” tegas Zelensky.
Beliau turut menambah bahawa tentera Ukraine berjaya membedal Jambatan Crimea yang menghubungkan semenanjung tersebut dengan tanah besar Russia, selain memusnahkan sistem radar dan pertahanan udara Moscow. -AGENSI






