WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengecam para pengkritik perjanjian beliau dengan Iran pada Khamis dengan menyifatkan mereka yang menuduhnya membuat terlalu banyak konsesi untuk menamatkan perang sebagai ‘orang bodoh’’ menjelang rundingan di Switzerland mengenai pelaksanaan perjanjian tersebut.
Harga minyak menjunam selepas Trump dan rakan sejawatannya dari Iran menandatangani perjanjian untuk menamatkan perang di Asia Barat dengan Selat Hormuz bakal dibuka semula, namun dua bulan rundingan masih menanti.
Dalam perkembangan mengejut selepas timbul ketidakpastian mengenai bila perjanjian yang dicapai awal minggu ini akan ditandatangani secara rasmi, Trump menurunkan tandatangannya menggunakan dakwat hitam tebal semasa satu majlis makan malam diterangi cahaya lilin bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron di Istana Versailles di luar Paris pada Rabu.
Macron yang memperoleh kejayaan diplomatik besar dengan penganjuran sidang kemuncak Kumpulan 7 (G7) dan majlis menandatangani di istana yang pernah menjadi lokasi pemeteraian perjanjian yang menamatkan Perang Dunia Pertama, menjerit ‘bravo’ ketika Trump menandatangani dokumen itu.
“Mereka yang bodoh ini, yang beranggapan saya tidak cukup tegas terhadap Iran, sedangkan pasaran saham baru sahaja mencatat rekod tertinggi dan harga minyak sedang menjunam, sama ada cemburu, berniat jahat atau tidak bijak,” tulis Trump di media sosial beberapa jam selepas menandatangani perjanjian itu.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian turut menandatangani perjanjian tersebut, kata jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baqaei dan menambah bahawa kini tiba masanya untuk menguji pelaksanaan perjanjian itu.
Harga minyak mentah jatuh lebih tiga peratus pada Khamis, meneruskan penurunan yang bermula sejak berita mengenai perjanjian itu muncul pada hujung minggu lalu.
Perjanjian itu dijangka menamatkan konflik semasa antara AS dan Israel dengan republik Islam tersebut, yang menyaksikan lima minggu peperangan penuh sehingga gencatan senjata pada awal April serta menyebabkan perkapalan di Selat Hormuz sangat terhad, sekali gus melonjakkan harga tenaga.
Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang membantu menjadi pengantara perjanjian itu, berkata, ia berkuat kuasa serta-merta dan Iran akan segera membuka semula Selat Hormuz
Beliau turut menandatangani perjanjian tersebut. – AFP






