WASHINGTON: Sebuah komet antara bintang yang melintasi matahari tahun lalu mungkin hampir tiga kali lebih tua daripada sistem suria, menurut ahli astronomi pada Isnin.
Menurut ahli astronomi dari Pusat Penerbangan Angkasa Goddard di bawah Pentadbiran Aeronautuk dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Martin Cordiner, komet itu tidak menyerupai apa-apa objek yang pernah dilihat sebelum ini di kawasan kosmik berhampiran bumi.
Komet 3I/ATLAS itu merupakan hanya objek ketiga yang pernah diperhatikan manusia datang dari luar sistem suria. Kecerahannya yang luar biasa memberi peluang belum pernah berlaku kepada saintis untuk mengkaji objek yang berasal dari kawasan lain dalam galaksi.
Selepas dikesan pada Julai tahun lalu, seorang penyelidik terkenal dari Universiti Harvard membuat spekulasi bahawa ia mungkin sebuah kapal angkasa makhluk asing, teori yang kemudian ditolak oleh NASA.
Kini, pemerhatian menggunakan teleskop paling berkuasa di dunia mula mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai komet unik itu.
Menurut kajian baharu yang diterbitkan dalam jurnal Nature, 3I/ATLAS mungkin berusia sehingga 12 bilion tahun. Sebagai perbandingan, sistem suria dipercayai terbentuk kira-kira 4.5 bilion tahun.
Cordiner yang merupakan penulis kajian, memberitahu AFP bahawa ia mungkin objek paling tua yang pernah diperhatikan dalam sistem suria.
Bagaimanapun, beliau berkata, masih terdapat beberapa kemungkinan lain yang boleh menjelaskan komposisi kimia luar biasa komet tersebut.
Penyelidikan baharu itu berdasarkan nisbah unsur kimia dikenali sebagai isotop, yang dikesan oleh Teleskop angkasa James Webb dan balai cerap ALMA di Chile.
Menurut kajian itu, ukuran tersebut mendedahkan komposisi unsur yang tidak menyerupai mana-mana objek dalam sistem suria.
Berbanding komet dalam sistem suria, 3I/ATLAS mengandungi kira-kira 30 kali lebih banyak deuterium, sejenis isotop hidrogen yang lazim ditemuikan dalam air berat, menurut kenyataan NASA.
“Kelimpahan air berat yang begitu tinggi hanya boleh berlaku, berdasarkan pemahaman kita tentang astrokimia, dalam persekitaran yang sangat sejuk,” jelas Cordiner.
Ini bermakna komet itu juga berkemungkinan antara objek paling sejuk yang pernah diperhatikan dalam sistem suria, dengan bukti isotop menunjukkan ia terbentuk dalam persekitaran bersuhu sekitar -243 darjah Celsius.
Lokasi sebenar asal-usul komet itu masih menjadi misteri. – AFP





