WASHINGTON: Ahli perniagaan India-Amerika Syarikat (AS), Vishal Garg yang menjadi terkenal di seluruh dunia selepas memecat 900 pekerja dalam satu panggilan Zoom selama tiga minit, kini berusaha untuk mendapatkan semula jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Better Home & Finance.
Beliau yang disingkirkan pada 3 Ogos lalu kemudian mendakwa lelaki yang menggantikannya telah memperdaya pihak tertentu untuk mendapatkan jawatan tertinggi itu.
Sebelum ini, Garg disingkirkan dan digantikan oleh pengurus dana lindung nilai, Daniel Lewis,yang baharu menyertai lembaga pengarah Better seminggu sebelum itu.
“Beliau telah memperdaya saya,” kata Garg kepada CNN.
“Beliau berkata menyukai strategi syarikat. Dia memuji kami di X dan menggunakan perkara itu untuk menyertai lembaga pengarah kami dan mendapatkan kepercayaan kami,” tambahnya
Garg berkata, beliau telah mengupah peguam terkemuka Alex Spiro, rakan kongsi di firma guaman Quinn Emanuel dan menghantar surat kepada lembaga pengarah Better yang menuntut supaya beliau dikembalikan semula ke jawatan tersebut.
Beliau malah menawarkan untuk bekerja dengan gaji hanya AS$1 (RM4.08) setahun sehingga syarikat itu kembali mencatat keuntungan.
Selepas itu, katanya, beliau akan berundur secara berperingkat daripada jawatan CEO. – AGENSI






