WASHINGTON: Kereta elektrik terbaharu Ferrari, Luce yang disifatkan antara kenderaan paling kontroversial dalam sejarah automotif moden 2026, mencatatkan rekod baharu apabila unit pertama pengeluarannya, ‘Chassis 0’, dilelong pada harga AS$40 juta (RM162 juta).
Pelancaran model kenderaan elektrik (EV) empat pintu dan lima tempat duduk itu dilakukan pada Mei lalu.
Kereta itu dibangunkan bersama bekas pereka iPhone, Jony Ive dan pernah mencetuskan kecaman hebat di media sosial serta menjejas saham syarikat di Maranello.
Syarikat lelongan RM Sotheby’s mengesahkan jualan berkenaan pada hujung minggu lalu di California, menjadikan nilai bidaan tersebut 35 kali ganda lebih tinggi daripada harga senarai asal.
Kejayaan ini dipercayai menjadi rekod harga tertinggi pernah dicatatkan untuk sebuah kereta baharu di lelongan awam.
Hasil jualan khas ini akan disalurkan sepenuhnya kepada program pendidikan di bawah Yayasan Ferrari.
Pembeli kereta itu tidak didedahkan.
Harga jualan itu berjaya memadam rekod dunia terdahulu bagi kereta baharu yang pernah dilelong.
Rekod tersebut sebelum ini dipegang oleh sebuah lagi model Ferrari buatan khas iaitu Daytona SP3 yang dijual pada harga AS$26 juta (RM105.3 juta) tahun lalu bagi mengumpul dana pendidikan syarikat terbabit.
Bagaimanapun, rekod semasa bagi harga tertinggi pernah dibayar dalam lelongan ialah sebuah Mercedes-Benz 300 SLR Uhlenhaut Coupe 1955 yang amat jarang ditemukan dan dijual pada harga AS$142 juta (RM576 juta) pada 2022. – AGENSI






