TEHERAN: Seorang pegawai kanan Iran pada Khamis berkata, Selat Hormuz masih berada di bawah kawalan negara itu, selepas Presiden Donald Trump mendakwa Amerika Syarikat (AS) menguasai laluan perairan strategik itu.
“Hari ini, anda dapat melihat bahawa Selat Hormuz berada di bawah pengurusan dan kawalan Republik Islam, dan negara kita terus menjalani urusannya dalam keadaan aman sepenuhnya,” kata Hossein Taeb, ketua pasukan separa tentera Basij yang bernaung di bawah Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), menurut televisyen kerajaan.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas Trump berkata negaranya mengawal selat berkenaan, yang penting bagi aliran tenaga global.
“Amerika mempunyai kawalan penuh ke atas Selat Hormuz. Saya rasa kami akan terus mengawalnya,” tulis Trump di platform Truth Social miliknya pada Rabu.
Amerika berulang kali mendakwa mengawal selat berkenaan.
Namun, Iran menolak dakwaan itu dengan menyatakan bahawa pihaknya secara berkesan mengawal laluan perairan tersebut dan berhasrat mengenakan sistem tol.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi pada Khamis berkata AS melakukan kesilapan perhitungan berhubung laluan perairan itu.
“Amerika telah lama melakukan kesilapan perhitungan akibat kegagalan risikan. Contohnya ialah perang terhadap Iran. Kini, mereka melakukan kesilapan perhitungan yang lebih besar berhubung Selat Hormuz,” katanya di X.
Pada Khamis juga, Ahli Parlimen Iran dan anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara, Behnam Saeedi berkata, selat itu ditutup kepada kapal AS dan Israel.
“Kapal milik rejim Zionis tidak akan dibenarkan melalui Selat Hormuz dalam apa jua keadaan, sama ada ketika perang atau aman,” katanya kepada televisyen kerajaan.
Beliau menambah bahawa kapal perang AS juga akan dihalang daripada melalui selat tersebut..- AFP






