MADRID: Granada di Sepanyol dikejutkan pada Sabtu selepas gempa bumi jarang berlaku berukuran 5.0 magnitud menggegarkan kawasan pelancongan itu selepas tengah malam dan menyebabkan kerosakan pada beberapa bangunan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada kematian atau kecederaan serta kerosakan serius, khususnya di istana Alhambra di bandar selatan itu. Ia merupakan sebuah permata seni bina Islam zaman pertengahan yang disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) selian pernah menjadi pusat pemerintahan kerajaan Islam terakhir di Sepanyol.
Gegaran berlaku sejurus selepas jam 1 pagi waktu tempatan, dengan pusat gempa di bandar Alhendin, kira-kira 10 kilometer di selatan Granada, menurut Institut Geografi Kebangsaan.
“Terdapat rekahan pada bangunan, bahagian seperti birai, serpihan dan dinding telah runtuh, manakala kerosakan dilaporkan berlaku di beberapa bangunan,” kata perkhidmatan kecemasan Andalusia dalam satu kenyataan.
Pasukan bomba menerima 300 panggilan dan menjalankan 85 operasi, khususnya di selatan Granada dan kawasan metropolitan bandar itu, kata Antonio Sanz, pegawai tertinggi kecemasan wilayah Andalusia.
“Tiada kerosakan struktur yang serius, tiada kerosakan material yang serius dan tiada mangsa, Istana Alhambra sama sekali tidak terjejas,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, bangunan-bangunan masih diperiksa dan gegaran susulan berkemungkinan berlaku.
Sanz turut menyatakan bahawa kali terakhir gempa bumi dengan magnitud seumpama itu melanda Andalusia adalah pada 1955.
Imej yang dikongsi media Sepanyol menunjukkan serpihan bertaburan di jalan raya dan beberapa kereta dengan cermin yang pecah.
“Kami benar-benar merasai gegaran itu. Ia sangat kuat sehingga mengejutkan kami daripada tidur,” kata Marta Mayorga Fernandez kepada penyiar awam RTVE dari bandar Huetor Vega, di luar Granada.
“Kami berada di rumah dan agak panik. Tubuh kami terasa menggigil dan tangan saya masih menggeletar,” katanya.
Sanz berkata, satu talian telefon telah diwujudkan untuk membantu menangani dengan segera krisis kebimbangan dan rasa gementar dalam kalangan orang awam. – AFP






