BAITULMUQADDIS: Isteri Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, Sara, berdepan dakwaan menengking, menghina dan melayan buruk beberapa kakitangan rumah rasmi suaminya.
Dakwaan itu dikemukakan ketika mereka bekerja di kediaman rasmi perdana menteri itu selama lebih 25 tahun, lapor Anadolu.
Akhbar harian Yedioth Ahronoth berkata, pihaknya meneliti puluhan keterangan dan saman yang melibatkan bekas pekerja, dengan dakwaan merangkumi penderaan secara lisan dan penghinaan sehingga tuntutan kerja yang keterlaluan.
Sebahagian daripada dakwaan tersebut membawa kepada keputusan mahkamah yang memerintahkan pembayaran pampasan, manakala kes lain diselesaikan di luar mahkamah atau digugurkan.
Sara dan peguamnya berulang kali menafikan dakwaan berkenaan, menyifatkannya sebagai sebahagian daripada kempen media dan cubaan untuk mendapatkan wang daripada negara.
Antara dakwaan terbaharu ialah aduan oleh Yehiel Ohav Ami, 61, yang bekerja di kediaman perdana menteri sepanjang tahun lalu.
Beliau mengesahkan bahawa dirinya ditengking, menerima penghinaan dan layanan memalukan dan pernah diarahkan membersihkan lantai dapur sambil merangkak.
Beliau turut mendakwa Sara mendoakan agar beliau menghidap kanser dan mati.
Pejabat Netanyahu menolak dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai satu lagi cubaan untuk mendapatkan wang daripada negara melalui fitnah terhadap isteri perdana menteri.
Akhbar itu turut memetik kes Meni Naftali, bekas pengurus kediaman perdana menteri yang menyaman pejabat Netanyahu berhubung keadaan kerjanya. – AGENSI






