KAMPALA: Uganda pada Khamis meluluskan usul penghantaran anggota tenteranya ke Semenanjung Gaza sebagai sebahagian daripada Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), selaras dengan perjanjian pelucutan senjata yang dicapai pada penghujung Julai.
Pasukan antarabangsa itu akan menjadi sebahagian daripada inisiatif Lembaga Keamanan, sebuah organisasi yang diwujudkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dan antara lain bertanggungjawab membuat persiapan bagi tempoh pascaperang di Gaza.
Parlimen Uganda meluluskan usul yang menyokong keputusan Presiden Yoweri Museveni untuk menghantar Angkatan Pertahanan Rakyat Uganda (UPDF) ke Semenanjung Gaza bagi melaksanakan misi pengaman.
Ketua Politik UPDF, Jeneral Henry Matsiko menyambut baik keputusan itu dan memberitahu Parlimen: “Saya amat berbangga sebagai rakyat Uganda kerana UPDF dilihat sebagai tonggak kestabilan di tengah-tengah suasana bergolak, bukan sahaja di peringkat serantau malah kini di peringkat global.”
Menurut sumber Lembaga Keamanan yang dipetik AFP pada Julai, Maghribi, Kosovo, Albania dan Kazakhstan turut menyatakan kesediaan untuk menyertai pasukan itu.
Sumber berkenaan berkata, ISF akan bertanggungjawab mengawal zon kemanusiaan seperti dirancang bagi menempatkan puluhan ribu rakyat Palestin yang telah melalui proses saringan keselamatan.
Mereka berkata, penduduk Palestin kemudiannya akan dibenarkan keluar masuk kawasan itu secara bebas.
Namun, cadangan mewujudkan zon kemanusiaan tertutup yang telah dibincangkan sejak beberapa bulan lalu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pertubuhan kemanusiaan. – AFP






