KYIV: Ukraine dijangka mampu menyerang Russia menggunakan peluru berpandu balistik buatan sendiri dalam tempoh tiga hingga enam bulan lagi.
Perkara itu didedahkan bekas Menteri Pertahanan Ukraine, Mykhailo Fedorov kepada CBS News dalam satu temu bual baru-baru ini.
Fedorov berkata, program peluru berpandu balistik Kyiv dipercepatkan ketika beliau menjadi menteri pertahanan dan percaya Ukraine akan melancarkan peluru berpandu balistik ke Russia menjelang akhir tahun ini.
Kenyataan itu dibuat ketika jurutera dan anggota tentera Ukraine berkata, pemecatan Fedorov bulan lalu tidak banyak menjejaskan usaha lebih besar negara itu membangunkan dron serta teknologi robotik.
Setakat ini, Ukraine bergantung kepada dron jarak jauh berkos rendah dan peluru berpandu untuk menyerang jauh ke dalam wilayah Russia.
Namun, senjata berkenaan bergerak lebih perlahan dan lebih mudah ditembak jatuh selepas dikesan.
Sebaliknya, Russia berulang kali menggunakan peluru berpandu balistik untuk menyerang Ukraine, yang berdepan kesukaran memintas senjata berkenaan, sekali gus memberi tekanan kepada sistem pertahanan udaranya.
Pada Jun lalu, Fire Point, antara pengeluar pertahanan terbesar Ukraine, menguji peluru berpandu balistik yang secara teorinya membolehkan Kyiv bertindak balas terhadap serangan jarak jauh Russia.
Pada awal Sabtu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menerusi media sosial berkata, Ukraine menyerang sebuah kemudahan agensi angkasa Russia di Samara, kira-kira 901 kilometer dari sempadan Ukraine, menggunakan peluru berpandu Flamingo buatan Ukraine.
Zelensky memecat Fedorov pada pertengahan Julai. Presiden itu memberi alasan perselisihan yang tidak dapat diselesaikan antara Fedorov dan panglima tertinggi Ukraine, Oleksandr Syrskyi sebagai punca pemecatannya.
Keputusan itu mencetuskan bantahan ribuan rakyat di seluruh Ukraine.
Kira-kira seminggu kemudian, Zelensky turut menyingkirkan Syrskyi daripada jawatannya.
Fedorov dipuji kerana membantu mengubah hala tuju perang memihak kepada Ukraine, termasuk meningkatkan serangan jarak jauh negara itu ke dalam Russia sebanyak 10 kali ganda dan memperkukuh industri persenjataan domestiknya.
Beliau berkata, bantahan terhadap pemecatannya menunjukkan rakyat Ukraine menyokong nilai demokrasi dan negara itu sedang berjuang untuk kebebasannya.
Seorang jurutera Ukraine, Eduard Trotsenko turut menunjukkan kepada AFP beberapa prototaip dan idea futuristik . Ia diharap dapat digunakan di medan perang, termasuk ‘burung mekanikal’ yang boleh mendarat di talian elektrik voltan tinggi untuk mengecas semula kuasanya sendiri serta ‘anjing robot’ dan boleh dihantar ke medan tempur.
Senjata autonomi itu kini menjadi antara teknologi utama dalam perang dengan Russia.
Buat masa ini, robot darat berkenaan kebanyakannya digunakan untuk memindahkan askar yang cedera dari medan perang atau menghantar bekalan, sekali gus mengurangkan keperluan menghantar lebih ramai askar ke zon maut.
Namun, Trotsenko turut membangunkan prototaip tempur, dengan satu dilengkapi pelancar roket RPG dan satu lagi mesingan berat, yang dikawal menggunakan kecerdasan buatan (AI).






