RAMALLAH: Israel merancang memindahkan tugas penguatkuasaan undang-undang awam di Tebing Barat yang diduduki kepada polis. Langkah itu yang menurut penganalisis Palestin boleh mempercepatkan usaha ‘merampas’ wilayah berkenaan serta meningkatkan tekanan terhadap penduduk Palestin.
Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, pada Jumaat mengarahkan tentera menyediakan pelan bagi memindahkan tugas penguatkuasaan undang-undang awam di Tebing Barat kepada polis Israel.
Kementerian Pertahanan Israel berkata, polis akan menubuhkan pasukan khas bagi mengendalikan urusan awam berkenaan.
Langkah itu dikatakan susulan kritikan terhadap tindakan tentera dalam menangani peneroka haram Yahudi yang mengepung sebuah rumah milik penduduk Palestin di kampung Qusra.
Perubahan itu menimbulkan persoalan besar mengenai mengapa urusan yang sebelum ini dikendalikan tentera kini diserahkan kepada polis Israel.
Menurut penganalisis, pemindahan tersebut bukan sekadar perubahan pentadbiran, sebaliknya boleh mengubah kedudukan undang-undang Tebing Barat secara asas.
Ahli akademik dan penyelidik hal ehwal Israel, Mohanad Mustafa, berkata, apabila kuasa penguatkuasaan dipindahkan daripada tentera kepada pasukan polis awam, ia memberi gambaran Israel tidak lagi mengendalikan Tebing Barat sebagai wilayah yang diduduki.
“Ini bermakna kerajaan ‘merampas’ Tebing Barat,” katanya kepada Al Jazeera.
Beliau berkata, langkah itu turut melepaskan tentera daripada sebahagian tanggungjawabnya di bawah undang-undang antarabangsa, manakala penguatkuasaan kini berada di bawah Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir.
Pakar hal ehwal Israel, Nihad Abu Ghosh, pula berkata, perubahan itu akan memberikan lebih banyak ruang kepada peneroka untuk bertindak terhadap penduduk Palestin.
Sementara itu, Setiausaha Agung Inisiatif Kebangsaa Palestin, Mustafa Barghouti berkata , peneroka merupakan ‘barisan hadapan dalam proses pengilhakan dan Yahudisasi’.
Beliau memberi amaran meletakkan keselamatan di bawah Ben-Gvir dan penempatan haram di bawah Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich sama seperti ‘menyerahkan Tebing Barat kepada peneroka haram Yahudi. Kepimpinan Palestin turut mengutuk langkah berkenaan.
Setiausaha Agung Jawatankuasa Eksekutif Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Hussein al-Sheikh, menyifatkannya sebagai pelanggaran jelas Israel terhadap perjanjian antarabangsa. Ia juga dianggap sebagai usaha untuk melaksanakan sundang-undang dan kedaulatan Israel ke atas Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur.





