TEHERAN – Presiden Masoud Pezeshkian bertemu dan mengadakan perbincangan dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Mojtaba Khamenei, lapor Agensi Berita Mehr hari ini.
Pertemuan itu diadakan sempena dengan bermulanya tahun ketiga pentadbirannya sebagai presiden.
Dalam pertemuan itu, Khamenei dan Pezeshkian bertukar pandangan secara terperinci mengenai isu dan masalah negara, khususnya berkaitan usaha memenuhi keperluan kehidupan rakyat.
Mereka turut membincangkan keadaan semasa perang ketiga yang dipaksakan ke atas Iran dan perkembangan yang bakal berlaku.
Kedua-duanya turut berbincang tentang perkembangan dalam bidang ketenteraan, penyelesaian berkaitan jaminan sumber, pengurusan perbelanjaan melibatkan rial, mata wang asing dan tenaga selain hubungan ekonomi dengan negara-negara asing.
Pezeshkian mengangkat sumpah jawatan pada 28 Julai 2024.
Dalam tempoh dua tahun pertama pemerintahannya, Iran berdepan rusuhan yang didakwa mendapat sokongan asing, manakala Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu sebanyak dua kali, masing-masing pada 13 Jun 2025 serta 28 Februari lalu.
Sejak memegang jawatan sebagai Pemimpin Tertinggi selepas kematian bapanya, Ayatollah Ali Khamenei di Teheran pada Februari, beliau tidak membuat sebarang penampilan awam, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai keadaan kesihatannya.
Khamenei dilaporkan mengalami kecederaan dalam serangan AS bersama Israel yang membunuh bapanya.
Terdapat khabar angin termasuk dakwaan daripada media Israel dan sumber pembangkang bahawa beliau berada dalam keadaan yang amat kritikal.
AS dan Israel melancarkan pusingan kedua perang terhadap Republik Islam Iran pada 28 Februari dengan membunuh bekas Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamenei, beberapa komander kanan dan pegawai tinggi.
Pada 6 Julai 2024, Pezeshkian dipilih sebagai presiden selepas memenangi pusingan kedua pilihan raya presiden.
Kemenangan beliau dalam pilihan raya itu berlaku beberapa bulan selepas bekas Presiden, Ebrahim Raisi terbunuh dalam nahas helikopter. – AGENSI






