LONDON: Istilah ‘daging makmal’ mungkin kurang menyenangkan sebahagian besar pengguna. Namun, kini myoglobin iaitu protein daging lembu boleh diperoleh daripada pokok salad dan tembakau.
Sekumpulan penyelidik dari Imperial College London berjaya mencipta kaedah baharu untuk menghasilkan protein otot haiwan di dalam pokok salad dan tembakau.
Penemuan berasaskan teknologi genetik ini dilihat mampu menjadi alternatif yang jauh lebih mampan dalam menghasilkan bahan utama bagi produk daging berasaskan tumbuhan.
Menurut salah seorang penyelidik projek berkenaan, Dr. Alexia Groff, tumbuhan boleh diubah suai secara genetik untuk menghasilkan myoglobin iaitu sejenis protein haiwan yang kaya dengan zat besi dan memberi rasa sedap dan berlemak selain warna merah pada daging di dalam kloroplasnya.
Kloroplas merupakan bahagian penting yang berfungsi sebagai kilang tenaga untuk proses fotosintesis tumbuhan.
Inovasi ini hadir pada waktu yang cukup kritikal di United Kingdom (UK). Setiausaha Tenaga UK, Ed Miliband sebelum ini memberi amaran bahawa setiap isi rumah perlu mengurangkan pengambilan daging sebanyak 25 peratus.
Langkah ini selari dengan sasaran terikat undang-undang untuk memotong pelepasan emisi karbon negara itu sebanyak 87 peratus menjelang 2040.
Pada masa ini, kaedah paling lazim bagi menghasilkan daging tiruan adalah menerusi kejuruteraan mikrob, iaitu proses memasukkan protein haiwan ke dalam genom bakteria atau yis. Bagaimanapun, menerusi kajian terbaharu ini, pasukan saintis mahu membuktikan sama ada proses serupa boleh dilaksanakan secara terus ke atas tumbuh-tumbuhan.
Dalam eksperimen tersebut, para penyelidik mengklonkan gen myoglobin daripada babi dan lembu. Mereka kemudian menggunakan alat khas yang dipanggil ‘senapang gen’ untuk menembak salinan gen berkenaan ke dalam kloroplas anak benih pokok tembakau dan salad. – AGENSI






