MADRID: Gerhana matahari penuh menyebabkan kawasan luas di Sepanyol bertukar daripada siang yang terang kepada kegelapan pada Rabu.
Ia mencetuskan sorakan kagum dan tepukan daripada orang ramai yang berkumpul di taman-taman serta bandar-bandar di seluruh negara.
Walaupun begitu mengagumkan, fenomena itu hanya berlangsung seketika paling lama kira-kira dua minit.
Fenomena astronomi yang amat jarang berlaku itu memukau rakyat Sepanyol dan pelancong di sepanjang kawasan terbentang dari Galicia hingga ke pantai Mediterranean serta Kepulauan Balearic.
Ketika cahaya perlahan-lahan malap di Tarragona, di pantai Mediterranean, orang ramai memerhati dalam suasana hampir penuh khusyuk apabila cahaya jingga pada lewat petang berubah menjadi kegelapan hampir sepenuhnya.
“Gila!” kata seorang wanita sebelum orang ramai di sebelahnya tiba-tiba bertepuk tangan dengan penuh semangat.
Ramai yang datang dari seluruh Catalonia untuk menyaksikan fenomena tersebut. Mereka terbawa-bawa dengan keterujaan yang melanda Sepanyol sejak beberapa hari kebelakangan ini menjelang gerhana berkenaan. Ia merupakan fenomena seumpamanya pertama berlaku di negara itu dalam tempoh lebih satu abad.
“Sangat mengujakan,” kata Laura Alarcon, 53, seorang akauntan dari Tarragona.
“Saya tidak menjangkakan keadaan sebegitu. Saya sangka ia tidak akan begitu menarik. Namun, suasananya, keadaan ketika itu, cara semuanya disediakan. Saya sangat menyukainya dan cermin mata itu juga berfungsi,” katanya.
Gerhana itu bermula pada jam 7.30 malam waktu tempatan tetapi waktu itu masih cerah di Sepanyol kerana matahari terbenam pada jam lebih 9 malam.
Berhampiran kawasan itu, Alejandro Cuesta, seorang penyelidik nanosains berusia 30 tahun yang datang dari Barcelona bersama ibunya, sukar menahan emosinya.
“Saya hampir menangis. Seluruh badan saya terasa meremang. Ia sangat indah,” katanya.
Kira-kira 500 kilometer ke arah barat, bandar Lodoso turut dilanda keterujaan yang sama.
Sorakan bergema apabila ratusan orang yang berkumpul di sebuah kawasan lapang yang terik akibat bahang matahari mendongak ke langit ketika kegelapan mula menyelubungi kawasan itu.
Namun, apabila bulan menutupi matahari sepenuhnya, sorakan bertukar menjadi kesunyian penuh kekaguman. Ini kerana orang ramai terpaku memandang korona matahari. – AFP/AGENSI






