NEW DELHI: Juruterbang Air India akan menjalani saringan narkotik mandatori bermula Khamis, menurut memo dalaman yang dilihat AFP, selepas seorang kapten yang terlibat dalam insiden serius di udara dilaporkan positif ganja.
Peraturan sedia ada mewajibkan syarikat penerbangan menjalankan ujian secara rawak terhadap sekurang-kurangnya 10 peratus kru penerbangan bagi mengesan bahan psikoaktif setiap tahun.
“Kami telah memutuskan untuk menjalankan saringan penuh terhadap semua juruterbang Kumpulan (syarikat) bagi mengesan sebarang bahan atau ubat-ubatan yang tidak dibenarkan di bawah peraturan yang sedang berkuat kuasa.
“Ujian ini adalah mandatori dan akan bermula hari ini, ”menurut memo berkenaan.
Pada 4 Ogos, sekurang-kurangnya 24 penumpang cedera apabila sebuah pesawat Airbus A320 kehilangan ketinggian kira-kira 91 meter sejurus berlepas dari Phuket, Thailand menuju New Delhi.
Laporan media tempatan mendakwa juruterbang utama telah mengambil ganja dan didapati positif dalam ujian pengesahan kedua.
Syarikat Air India berkata, keputusan ujian tersebut belum dikongsi dengan pihaknya.
Penyiasat India belum mengulas laporan berkenaan tetapi berkata, mereka sedang meneliti dengan teliti bukti berkaitan penerbangan tersebut.
Siasatan itu mendapat sokongan daripada Airbus dan agensi keselamatan penerbangan awam Perancis, BEA.
Insiden itu berlaku ketika Air India sedang berusaha menambah baik operasi syarikat susulan beberapa siri masalah yang dihadapinya.
Reputasi syarikat penerbangan itu terjejas teruk pada Jun 2025 apabila Penerbangan 171 menuju London terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad, mengorbankan kesemua kecuali seorang daripada 242 orang yang berada di dalam pesawat dan 19 orang di darat. – AFP






