WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Khamis mengumumkan tarif sehingga 100 peratus ke atas import dron dan komponennya.
Ia bagi mengurangkan kebergantungan Amerika Syarikat (AS) terhadap import dalam industri yang didominasi China.
Beliau memberikan alasan keselamatan negara bagi keputusan tersebut, menurut kenyataan Rumah Putih yang memperincikan kadar tarif 100 peratus ke atas import sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) tertentu, sebagaimana istilah rasmi dron.
Dron yang mempunyai berat berlepas melebihi 25 kilogram dan dilengkapi apa yang dipanggil keupayaan keselamatan negara seperti kamera terma dan stesen dok akan dikenakan tarif 100 peratus.
Dron yang lebih kecil pula akan dikenakan tarif 25 peratus.
Kenyataan itu menyebut tarif berkenaan akan menggalakkan peningkatan pengeluaran domestik dron dan komponennya serta mengurangkan kebergantungan terhadap rantaian bekalan asing.
Sebahagian besar tarif baharu itu akan mula berkuat kuasa pada 3 September.
“Tarif ini benar-benar menyasarkan dron industri dan komersial dan pada tahap lebih rendah dron kecil yang digunakan oleh penggemar,” kata Clayton Swope, felo kanan di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), kepada AFP.
Perang di Ukraine menunjukkan bagaimana dron komersial dan dron yang digunakan penggemar boleh diubah suai untuk melancarkan serangan di barisan hadapan.
Syarikat China, DJI, yang ditubuhkan pada 2006, menguasai lebih dua pertiga pasaran dron global dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut beberapa kajian. – AFP






