NAIROBI Sekurang-kurangnya 19 ekor gajah mati akibat serangan penyakit misteri yang melanda selatan Kenya sejak Jun lalu, dengan kesemua haiwan yang ditemukan itu menunjukkan simptom sama termasuk kelumpuhan separa sebelum mati.
Kejadian terbaharu melibatkan seekor gajah jantan berusia 11 tahun bernama Genghis Khan yang ditemukan terbaring lemah di rizab Kitenden B. Pasukan doktor haiwan hanya mampu memberikan suntikan glukosa sebagai langkah ihsan memandangkan punca sebenar penyakit berkenaan masih belum diketahui.
Siri kematian ini mencetuskan kebimbangan di kawasan Amboseli, destinasi pelancongan utama berlatarbelakangkan Gunung Kilimanjaro yang menjadi sumber pendapatan penting negara berkenaan.
Ketua Operasi Tanah Komuniti Olgulului, Patrick Papatiti menjelaskan bahawa gajah-gajah yang terjejas akan bergelut untuk bertahan hidup selama satu hingga tiga hari sebelum akhirnya tewas.
Perkhidmatan Hidupan Liar Kenya (KWS) sebelum ini mendakwa ujian toksikologi mendapati kepekatan sianida yang tinggi pada bangkai gajah, dipercayai berpunca daripada racun perosak di kawasan pertanian berhampiran.
Bagaimanapun, andaian tersebut ditolak oleh pakar tempatan dan pihak berkuasa daerah kerana haiwan pemakan bangkai serta lalat yang hinggap pada bangkai berkenaan langsung tidak terjejas.
Selain itu, haiwan ternakan penduduk tempatan juga tidak mengalami sebarang keracunan, sekali gus menguatkan andaian bahawa ia bukan disebabkan oleh dedaun beracun.
“Ini adalah penyakit,” kata Papatiti, yang dilahirkan dan dibesarkan dalam komuniti tempatan Maasai, sambil menegaskan tiada kemungkinan sianida terlibat.
“Jika haiwan lain memakan bangkai itu dan tidak mati, maka ia secara pastinya bukan bahan kimia,” kata Joel Nyika, Pengurus Ekosistem Amboseli bagi pihak berkuasa Daerah Kajiado, kepada AFP.
Beliau menolak teori yang turut dikemukakan oleh KWS bahawa sianida tersebut mungkin berasal daripada jenis dedaun tertentu, selain mendapati haiwan ternakan tempatan juga akan mati jika perkara itu berlaku.
“Sebagai pengurus hidupan liar, kami percaya ia mungkin penyakit yang hanya menjejaskan gajah-gajah ini,” tambahnya.
Pada 7 Ogos, KWS menyatakan penemuan setakat ini tidak menunjukkan sebarang penyakit berjangkit atau sekali gus meyakinkan pelancong bahawa mereka boleh terus berkunjung ke kawasan berkenaan.– AFP






