GEORGETOWN: Sudah enam tahun menunggu, namun sehingga kini tidak ada sebarang perkembangan.
Itu situasi melibatkan Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Jelutong di sini yang sehingga kini terbiar sehingga ditumbuhi semak-samun sekali gus dibimbangi menjadi sarang binatang buas.
Tanah seluas kira-kira 0.6 hektar yang terletak bersebelahan Masjid Jamek Jelutong itu sepatutnya digunakan bagi tujuan pembesaran kubur sedia ada seperti yang diamanahkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) pada 2015.
Namun, menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Jelutong Timur, Khamariah Ahamed, sehingga kini tidak ada sebarang usaha dilakukan oleh MAINPP meskipun tanah itu telah dikosongkan oleh penduduk yang berpindah keluar sejak 2017.
Sedangkan, kata beliau, kubur sedia ada sudah semakin sesak dan kritikal sejak 12 tahun lalu sekali gus memerlukan tanah perkuburan baharu dibuka segera.
“Pembangunan yang rancak di Bandar Baru Jelutong juga menyebabkan umat Islam di sini semakin bertambah sekali gus memerlukan ruang tanah kubur yang luas.
“Apatah lagi ketika ini hanya terdapat dua tanah perkuburan untuk umat Islam di daerah Timur Laut iaitu di sini dan di Jalan Perak,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Menurut Khamariah, apa yang membimbangkan penduduk adalah sekiranya MAINPP lambat bertindak untuk memperluaskan tapak itu sebagai kubur, tanah lapang tersebut boleh terlepas bagi tujuan komersial.
Jelasnya, perkara itu pernah berlaku pada 9 Disember 2010 apabila tanah tersebut yang pada mulanya seluas 1.3 hektar dan dikhususkan hanya untuk perkuburan Islam secara tiba-tiba diwartakan bersama untuk perumahan am.
Lebih malang, tambah beliau, bahagian tanah yang diambil bagi tujuan penggunaan komersial itu pula adalah lebih besar iaitu kira-kira 0.7 hektar berbanding yang ditinggalkan untuk tujuan pembesaran tanah kubur.
“Penduduk kini bimbang jika tanah yang dikhususkan untuk perkuburan Islam ini terus dibiarkan, kelak akan turut terlepas dan ditukar bagi tujuan pembangunan komersial.
“Apatah lagi majlis pecah tanah bagi pembangunan perumahan am di tanah bersebelahan tapak kubur itu juga telah dibuat oleh kerajaan negeri pada Januari tahun lalu, tetapi mengapa tanah untuk perkuburan Islam ini masih tergantung?” katanya.
Jelas Khamariah, wakil penduduk juga telah beberapa kali bertemu dengan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAINPP) bagi menyelesaikan isu itu namun sehingga kini tidak mendapat sebarang maklum balas.
“Sehubungan itu, penduduk sangat berharap dapat membawa perkara ini kepada pengetahuan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas supaya isu ini tidak terus berlarutan dan tanah yang dikhususkan untuk perkuburan umat Islam itu dapat diselamatkan,” katanya. -UTUSAN






