PETALING JAYA: Dua menteri Kabinet iaitu Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Datuk Seri Nancy Shukri rela jika gaji dan elaun mereka dipotong untuk membantu kerajaan menghadapi kemelesetan ekonomi.
Bercakap kepada Nexbyte Nanta, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, pengalaman sebagai menteri sejak Mac 2020 sehingga sekarang telah ‘merasai’ sebagai ahli Kabinet tidak bergaji selama lima bulan.
Oleh itu, menurut Alexander Nanta, beliau tiada masalah jika kerajaan mahu memotong gajinya sekali lagi bagi meringan dan mengawal perbelanjaan kerajaan.
“Selama 27 bulan menjawat jawatan dalam kerajaan sejak Mac 2020, menteri dan timbalan menteri pernah mengalami fasa tidak bergaji selama lima bulan ketika tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Jadi, tiada masalah untuk itu (dipotong gaji),” kata beliau ketika ditanya mengenai cadangan gaji menteri dan timbalan menteri dipotong bagi membantu kerajaan berjimat.
Sebagai rekod, pada Mac 2020 sewaktu negara menerima tamparan hebat wabak Covid-19, Kabinet pada waktu itu memutuskan agar gaji Perdana Menteri, menteri dan timbalan menteri dipotong dua bulan untuk disalurkan kepada Tabung Covid-19.
Langkah sama
Kemudian pada Jun 2021, langkah sama turut diambil apabila semua menteri dan timbalan menteri tidak mengambil gaji selama tiga bulan, bagi membolehkan wang tersebut disumbangkan ke dalam Akaun Amanah Bencana sebagai membiayai perbelanjaan berkaitan Covid-19.

Nancy, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, beliau juga tidak menolak dengan cadangan gaji menteri dan timbalan menteri dipotong jika menerima arahan kerajaan.
“Kalau ada arahan (pemotongan gaji dan elaun), kita tidak pernah menolak, kalau itu tindakan kerajaan. Kita (barisan Kabinet) dari dulu, elaun sudah dipotong, kita ikut saja, kita tiada masalah.
“Anda (wartawan) boleh tanya Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, beliau tahu keadaan sebenarnya dan mudah dia bercakap daripada saya mengenai perkara ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Minggu Pelancongan Islamik (ITW) di sini semalam.
Bersetuju
Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, beliau juga bersetuju dengan cadangan gaji wakil rakyat dipotong untuk membantu rakyat.
“Saya rasa perkara ini (gaji wakil rakyat dipotong) wajar dipertimbangkan sebab dalam keadaan rakyat sengsara.
“Malah saya baru bercakap dengan seorang peniaga di Lembah Pantai yang mengadu susulan harga barang yang terlalu meningkat, jualannya laris tapi keuntungan hampir tiada sebab margin terlalu kecil. Ini berlaku sebab harga barangan sudah mula naik,” kata beliau ketika dihubungi.
Sebelum ini, bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz melontar idea supaya kerajaan mempertimbangkan pemotongan elaun dan gaji barisan menteri Kabinet sebanyak 20 peratus dengan kadar segera sebagai empati kepada rakyat yang kini sedang bergelut dengan krisis ekonomi.
Menurutnya, kesengsaraan rakyat bermula dengan pandemik Covid-19 dan kini diikutu inflasi yang mendorong kenaikan harga barangan keperluan dan disusuli implikasi konflik Russia-Ukraine.- UTUSAN






