GUA MUSANG: Lebih 3,000 penduduk Orang Asli yang tinggal di sekitar kawasan Tanah Tinggi Lojing di sini, diselubungi kebimbangan dengan aktiviti pertanian yang boleh menyebabkan berlakunya risiko banjir lumpur dan tanah runtuh akibat hujan.
Tinjauan mendapati, kawasan pertanian itu terletak tidak jauh dari perkampungan Orang Asli sekali gus boleh mengundang bahaya setiap kali berlakunya hujan lebat.
Bercakap kepada Nexbyte, Penghulu Kampung Sendrop, Rasid Akoh, 55, berkata, terdapat lebih 30 kampung kecil sekitar Lojing yang berdepan risiko banjir lumpur dan tanah runtuh.
Katanya, antara kampung berisiko hakisan itu ialah Kampung Jedip,Brooke Lama, King Kong, Sang Wai A dan B, Sendrop, Bahong, Mendrop, Hendrop dan Kampung Jekjok.
“Kawasan kampung Orang Asli itu sudah wujud lebih 30 tahun lalu dan kini menjadi tumpuan pengusaha kebun menjalankan aktiviti pertanian.
“Kami berharap segala aktiviti pertanian dapat ditangguhkan ketika musim hujan bagi menjamin keselamatan penduduk Orang Asli yang tinggal berhampiran,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Seorang lagi penduduk Kampung Sengsang, Eyas Anjang, 41, berkata, isu pertanian di kawasan Lojing bukanlah perkara baharu dan menyebabkan penduduk terdedah risiko hakisan sepanjang masa terutama musim hujan.
Katanya, penduduk masih trauma dengan kejadian runtuhan tanah yang berpunca daripada lereng bukit sehingga mengakibatkan banjir lumpur di Kilometer 92 Jalan Gua Musang-Lojing, awal tahun lalu.
“Masyarakat Orang Asli sentiasa berada dalam kebimbangan kerana tidak tahu sejauh mana keselamatan cerun itu walaupun setiap hari menggunakan jalan tersebut untuk ke Cameron Highlands atau bandar Gua Musang.
“Kami berharap pekebun dapat menghentikan kerja pertanian ketika hujan lebat berterusan kerana kesannya memang tinggi dan biasanya kami Orang Asli yang jadi mangsa keadaan sekiranya berlaku bencana alam,” jelasnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim mengakui, setiap tahun kawasan seperti Tanah Tinggi Lojing antara yang berisiko tinggi terdedah dengan ancaman hakisan tebing bukit akibat aktiviti penerokaan tanah kebun sayur.
Katanya, aktiviti pertanian memang tidak sesuai diadakan ketika musim hujan kerana faktor keselamatan di kawasan perkampungan Orang Asli.
“Saya sering menerima aduan mengenai hakisan dan pencemaran sungai di perkampungan Orang Asli akibat aktiviti pertanian.
“Sebelum ini saya juga telah membuat tinjauan sendiri di kawasan perkampungan Orang Asli di Lojing dan paling ketara adalah air sungai di kawasan itu yang sentiasa keruh serta kotor,” katanya.
KEJADIAN BANJIR LUMPUR DI GUA MUSANG
27 JANUARI 2017: Seramai 300 penduduk Orang Asli di Kampung Jedip, Pos Brooke resah dengan keselamatan mereka selepas berlaku kejadian banjir lumpur dari bukit yang diteroka.
9 MEI 2017: Banjir lumpur menyebabkan jalan Gua Musang – Lojing berhampiran Pos Blau ditutup kepada semua kenderaan.
28 JULAI 2017: Lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Lojing Lama terdedah kepada hakisan bukit serius sejak sebulan lalu.
25 NOVEMBER 2017: 30 keluarga Orang Asli di Kampung Sangwai, Pos Brooke berdepan situasi cemas selepas berlaku kejadian bukit runtuh buat kali keempat.
3 NOVEMBER 2020: Lebih 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Tuel merayu kerajaan membaiki kerosakan 37 tempat runtuhan bukit di sepanjang jalan kampung mereka. Penduduk mendakwa terdapat 10 kawasan berlaku runtuhan dan hakisan bukit sehingga menutup separuh jalan yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna.
3 JANUARI 2021: Jalan Gua Musang-Lojing di Kilometer 92, di Gua Musang, Kelantan ditutup selepas berlaku runtuhan tanah lereng bukit yang mengakibatkan banjir lumpur.
16 JUN 2022: Laluan di Kilometer 40 Jalan Gua Musang-Lojing berhampiran Pos Blau ditutup selama dua jam kepada semua kenderaan di kedua-dua arah akibat air sungai melimpah.
– UTUSAN






