KUALA LUMPUR: ‘Jangan galakkan campur tangan kuasa eksekutif dalam institusi kehakiman negara.’
Demikian tegas Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung komitmennya untuk terus mempertahan sistem kehakiman negara kerana bagi Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, rakyat berhak mempunyai institusi kehakiman yang telus.
Bercakap kepada Nexbyte, beliau berkata, sesiapa sahaja yang menyalah guna hak rakyat, individu itu seharusnya dibawa ke muka pengadilan.
“Kita mahu pertahan institusi (kehakiman). Ini penting supaya tidak ada rasa takut. Tidak kira kita pangkat tinggi atau rendah, kita semua diadili dengan sistem kehakiman yang bersih.
“Kita perlu faham intipati keputusan itu mendapat dokongan yang sepatutnya lebih-lebih lagi dengan bukti forensik.
“Yang membimbangkan kita adalah diserang kredibiliti para hakim dan diperkenal pula tiga nama baharu oleh Perdana Menteri untuk menganggotai suruhanjaya itu,” katanya ketika ditemui di Bukit Damansara semalam.
Beliau merujuk kepada pengumuman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung pelantikan tiga individu termasuk bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif sebagai anggota Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa semalam.
Turut dilantik ialah bekas Peguam Besar Negeri Sarawak, Datu Abdul Razak Tready dan Pensyarah Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Datuk Dr. Shamrahayu Ab Aziz.
Berhubung kes mengaitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau berkata, sembilan ketua hakim bertanggungjawab mengeluarkan keputusan dan mereka itu adalah individu yang mempunyai kredibiliti, tersohor serta menghasilkan keputusan yang dihormati.
“Di Malaysia, saya nak merujuk pada 1999, International Commission of Jurists, mereka telah memantau kes di seluruh dunia dan di Malaysia, mereka telah memantau tiga kes dan salah satunya adalah kes yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ketiga-tiga disimpulkan mempunyai pengaruh pihak eksekutif dalam penghukuman. Ada laporan disediakan berkaitan hal ini. Kita kalau mahu perjuangkan mana-mana individu perlulah berdasarkan bukti yang sahih.
“Maka untuk bergerak ke depan, saya rasa kita harus tumpukan pada kredibiliti pelantikan bagi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman kerana ini perjuangan yang masih terus,” jelasnya. – UTUSAN






