TEMERLOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) menggerakkan 14,975 koperasi di bawahnya untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pengeluaran makanan bagi mengurangkan kos import makanan negara.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, agensi itu dengan hampir lapan juta ahli akan menjadi rakan kongsi kerajaan bagi menjamin bekalan mencukupi dan menstabilkan harga di pasaran.
Menurutnya, Angkasa secara berterusan meneroka dan mencari peluang untuk meningkatkan pengeluaran makanan negara menerusi rantaian atau ekosistem yang melibatkan koperasi penternakan, pemprosesan, pembekalan, logistik dan akhirnya kepada pengguna.
“Angkasa mempunyai perancangan besar dalam usaha mewujudkan ekosistem yang didominasi oleh koperasi bagi membantu rakyat mendepani kos sara hidup,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Negeri (MAN) Pahang Zon 2 (2023) di Pejabat Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri (JPAN) Pahang 2 (Temerloh) di sini semalam.
Semalam, akhbar ini melaporkan, nilai import makanan negara boleh mencecah sehingga RM100 bilion menjelang 2025 berdasarkan statistik dan trend semasa antaranya disebabkan permintaan dalam negara melebihi penawaran.
Mengikut laporan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, RM75.54 bilion import makanan dicatatkan tahun lalu, berbanding RM63.59 bilion pada 2021, iaitu peningkatan sebanyak 18.7 peratus manakala RM55.4 bilion dicatatkan pada 2020.
Malah ia menunjukkan peningkatan import luar biasa dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini apabila RM38.8 bilion import makanan dicatatkan pada 2013, menjadikan peningkatan sebanyak 94.6 peratus pada 2022.
Mengulas lanjut, Abdul Fattah berkata, Angkasa melalui anak syarikatnya, Komardi Dairy Sdn. Bhd. menjayakan ternakan lembu tenusu bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan import makanan.
“Projek ini turut melibatkan koperasi penternak tenusu, kilang susu segar milik koperasi dan pusat penghasilan produk tenusu koperasi. Angkasa mempunyai 81 ekor lembu baka Holstein genetik dari Korea Selatan yang boleh menghasilkan 45 liter sehari berbanding hanya 15 hingga 20 liter baka tempatan,” katanya.
Menurutnya, projek lembu tenusu ini dalam jangka masa panjang dapat memenuhi permintaan industri tenusu negara sekali gus mengurangkan kebergantungan import. – UTUSAN






