KUALA LUMPUR: Penangguhan sementara pengambilan pekerja asing ke negara ini bertujuan mengelakkan berlakunya ‘kebanjiran’ mereka dalam negara.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud berkata, langkah itu diputuskan Kabinet sebelum ini dan kementeriannya setakat ini hanya meneruskan kelulusan yang telah diberi kepada majikan.
“Memang kita terima banyak aduan, apabila luluskan kuota, berlaku kes pekerja yang sampai ke negara ini, tidak diambil di lapangan terbang. Ada juga kes yang sudah luluskan kuota, tetapi majikan minta kurangkan kuota yang diminta.
“Jadi Kabinet telah putuskan tangguh dulu keluluskan warga asing ini supaya majikan yang sudah diluluskan, bawa masuk dulu. Jika tidak, ia akan berlaku kebanjiran, proses kelulusan kuota itu tidak menepati keperluan sebenar industri,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Chow Kon Yeow (DAP-Batu Kawan) dalam soalan tambahan meminta kementerian menjelaskan tentang kepincangan yang dikesan sewaktu pemindahan kuota kepada pihak ketiga.
Mengulas lanjut, Timbalan Menteri itu turut berkata, setakat ini terdapat lapan buah negara yang masih membekalkan tenaga buruh ke negara ini iaitu Bangladesh, Republik China, Indonesia, Pakistan, Vietnam, Thailand, Nepal dan Kemboja.
Selain lapan negara berkenaan, kerajaan juga telah memuktamadkan memorandum persefahaman dengan kerajaan India pada 13 Mac 2023 dan dijangka dapat dimeterai sebelum berakhirnya pada suku pertama tahun 2023. – UTUSAN






