PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan baharu, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan perlu memastikan reformasi institusi kesihatan negara berjaya dilaksanakan sekali gus dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Yang Dipertua Persatuan Kesihatan Ikram Malaysia (Ikram Health), Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diberi perhatian oleh Dr. Muhammad Radzi berkaitan isu kesihatan di negara ini termasuk agenda pembentangan Kertas Putih Kesihatan.
Selain itu katanya, usaha juga perlu ditumpu terhadap pembentukan Suruhanjaya Reformasi Kesihatan, penggubalan undang-undang terutama membabitkan kawalan produk tembakau dan rokok.
“Ikram Health juga berharap pelaksanaan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 bagi mewujudkan Generasi Penamat (GEG) terus dijayakan.
“Pada masa sama, beliau perlu memandang serius terhadap agenda mempertingkat kualiti perkhidmatan dan fasiliti kesihatan dapat dijayakan sepenuhnya,” katanya kepada Nexbyte semalam.
Menurut Dr. Mohd. Afiq, sebagai Ketua Pengarah, Dr. Muhammad Radzi juga perlu membantu Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dalam memastikan usaha reformasi dan pelaksanaan dasar baharu dapat direalisasikan.
“Kami yakin dengan kepakaran, kelayakan dan pengalaman yang ada pada Dr. Muhammad Radzi, beliau mampu melakukan perubahan dalam sektor kesihatan negara,” katanya.
Dalam Belanjawan 2023 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Kesihatan menerima peruntukan kedua terbesar iaitu sebanyak RM36.3 bilion berbanding RM32.4 bilion pada tahun lalu.
Jumlah itu termasuk RM3 bilion bagi lantikan baharu secara tetap dan kontrak lebih 1,500 pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi serta melibatkan perolehan ubat-ubatan, reagent, vaksin dan bahan guna habis.
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Dr. Boi Saidi Abdul Razak berkata, Ketua Pengarah Kesihatan baharu perlu memberi perhatian khusus kepada penjagaan kesihatan utama di negara ini.
Katanya, banyak penambahbaikan boleh dilakukan terutama dalam mengurangkan masa menunggu pesakit di klinik kesihatan dan lambakan pesakit di Zon Hijau hospital kerajaan.
“Reformasi ke arah perkongsian pesakit antara klinik swasta dan klinik kesihatan perlu dioptimumkan.
“Kerjasama itu boleh menyelesaikan masalah masa menunggu lama di klinik kesihatan dan dapat mengurangkan kesibukan pesakit yang ramai di Zon Hijau hospital kerajaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa supaya Kementerian Kesihatan mengadakan pertemuan dengan pemain industri kesihatan seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan pandangan dari sudut perspektif pihak swasta.
Terdahulu, Dr. Zaliha mengumumkan Dr. Muhammad Radzi dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan bagi menggantikan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang bersara pada Jumaat lalu dan pelantikan itu berkuat kuasa 21 April lalu.
Menurut Dr. Zaliha, pelantikan berkenaan adalah berdasarkan kelayakan dan pengalaman luas Dr. Muhammad Radzi dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara sebagai Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) di Kementerian Kesihatan.
“Beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Jabatan Perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah, Ketua Penyelaras Perubatan Negeri Kedah dan Ketua Pusat Penyelidikan Klinikal Kedah.
“Dr. Muhammad Radzi pernah dilantik sebagai Ketua Perkhidmatan Gastroentrologi dan Hepatologi dan menjadi pengerusi pentauliahan dalam bidang kepakaran itu dari tahun 2013 sehingga 2021,” katanya. – UTUSAN






