PETALING JAYA: Pindaan Kanun Tatacara Jenayah akan dilakukan supaya wang mangsa penipuan dapat dipulangkan lebih awal dan dikekalkan bon sebagai ganti, sementara kes mahkamah berjalan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya menyedari mangsa ‘scammer‘ berdepan masalah untuk mengambil masa untuk menerima wang tersebut.
Katanya, Bank Negara meminta semua bank melaksanakan operasi pemantauan 24 jam dan menuju ke arah automasi bagi membolehkan pengguna mengambil tindakan menghentikan pengeluaran wang daripada bank serta-merta sekiranya berlaku penipuan atau ‘scam’.
Beliau berkata, sebanyak 3,595 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan penipuan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan dan kerajaan sudah mendapat pulangan daripada rampasan sebanyak RM34.8 juta.
Beliau menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang menyatakan adakah Kerajaan mempunyai rancangan untuk memanjangkan masa operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan kepada 24 jam bagi membantu dengan segera mereka yang menjadi mangsa penipuan mendapat bantuan yang tepat dan segera dalam masa yang kritikal. – UTUSAN






