ARAU: Masa depan politik Khairy Jamaluddin disifatkan lebih cerah jika memilih menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan tidak mustahil bakal menjadi pelapis mengetuai parti tersebut pada masa hadapan.
Bekas Ahli Parlimen Rembau yang dipecat daripada UMNO pada 27 Januari lalu itu mungkin dilihat tidak ‘berharga’ bagi parti lamanya, namun Bersatu atau Perikatan Nasional (PN) melihat pemimpin muda tersebut sebagai aset cukup bernilai yang mampu membantu memberi lebih kekuatan kepada gabungan berkenaan.
Bercakap kepada Nexbyte, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Rusdi Omar berkata, jika dilihat selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak ada pelapis yang sesuai untuk mengetuai Bersatu dan Khairy mempunyai potensi sebagai pemimpin masa depan parti berkenaan.
Malah katanya, jika bersama Bersatu dan PN, laluan untuk beliau menjadi calon Perdana Menteri pada masa akan datang juga dilihat lebih cerah berbanding jika beliau memilih PKR.
“Apa pun Khairy sudah tentunya akan membuat keputusan terbaik untuk masa depan politiknya sama ada bersama Bersatu atau PKR.
“KJ ini diibarat permata meskipun dilempar oleh UMNO dan disebabkan itu beliau dilihat menjadi rebutan parti-parti politik,” katanya.
Baru-baru ini, Khairy memuat naik gambarnya bersama Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menerusi hantaran dimuat naik di InstaStory sekali gus menimbulkan tanda-tanya sama ada bekas Ketua Pemuda UMNO itu sudah membuat keputusan untuk bersama parti berkenaan atau sebaliknya.
Melalui hantaran tersebut, kedua-dua pemimpin berkenaan kelihatan tersenyum.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris seperti dilaporkan media mengesahkan pertemuan Muhyiddin dan Khairy itu yang diadakan di kediaman bekas Perdana Menteri itu di Bukit Damansara bagi membincangkan mengenai tawaran Bersatu, namun enggan mendedahkan keputusan mengenainya.
Pertemuan berkenaan selang empat hari selepas bekas Menteri Kesihatan itu hadir dalam perbincangan mengenai hala tuju ekonomi negara yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama beberapa tokoh perniagaan dan pakar ekonomi termasuk Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang turut menimbulkan persoalan kemungkinan beliau memilih untuk bersama Kerajaan Perpaduan.
Tambah Rusdi, beliau melihat sukar untuk Khairy memilih bersama PKR meskipun ditawarkan senator dan menteri.
“Jika Khairy memilih menerima tawaran sebagai senator atau menteri sebagai contoh, mungkin rasa hormat umum terhadapnya akan hilang.
“KJ kena menang pilihan raya sebelum menjadi menteri baru dihormati sebagai pemimpin masa depan dan tidak mustahil berpotensi menjadi calon Perdana Menteri masa depan.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, KJ juga tidak mustahil bakal diberi tawaran dengan paling kurang sebagai Menteri Besar dan penampilan beliau sememangnya mempunyai peluang cerah membantu parti yang bakal disertai itu menang,” katanya.-UTUSAN






