ALOR SETAR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) disaran membuat pertimbangan untuk menarik semula pangkat Laksamana Pertama (Kehormat) Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) daripada Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berikutan sikap ditunjukkannya terhadap Sultan Selangor.
Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, pertimbangan itu perlu dilakukan kerana Muhammad Sanusi telah melanggar ‘tiga perkara’ melibatkan Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Kapten Yang Dipertua TLDM.
Pertamanya kata beliau, Sultan Selangor telah bertitah agar orang politik tidak mengheret institusi diraja ke kancah politik ketika memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, sebelum ini.
“Kedua, ungkapan dibuat Sanusi seolah-olah membandingkan Sultan dua negeri. Dikatakan Sultan Kedah lantik beliau dan tidak akan lantik orang macam Datuk Seri Amirudin Shari yang disifatkan tidak cukup inci. Tetapi siapa yang lantik Amirudin kalau bukan Sultan Selangor?
“Ketiga Sanusi hantar warkah mohon ampun tetapi ada cangkuk ucapannya telah diputar belit oleh musuh politik. Kena ingat Ahli Dewan Diraja Selangor yang buat laporan polis bukan calang-calang orang sebaliknya individu hebat seperti bekas Hakim, Tan Sri Mohd. Zawawi Salleh serta bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika berucap dalam siri Jelajah Madani DUN Suka Menanti di Taman Wira Mergong di sini, malam tadi.
Muhammad Sanusi menerima pangkat kehormat tersebut pada April 2021 sekali gus menjadikan beliau sebagai penaung kepada pasukan Tentera Simpanan Darat, Laut dan Udara Negeri Kedah.
Justeru menurut Saifuddin, tindakan Muhammad Sanusi adalah sesuatu yang pelik kerana beliau memohon maaf tetapi dalam masa sama tidak mengaku bersalah.
“Sultan Selangor dalam tentera merupakan pegawai atasan beliau tetapi dihina sebegitu. Jadi saya fikir mungkin sudah sampai masa ATM tarik balik pangkat kehormat tersebut,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, tindakan Muhammad Sanusi yang didakwa sering menghina orang lain disebabkan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) itu merasakan dirinya hebat dan lebih popular berbanding mana-mana individu.
“Tetapi dari sudut psikologi, orang yang suka menghina, merendah-rendahkan dan perlekeh orang lain sebenarnya tidak yakin dengan diri sendiri. Kalau beliau yakin dengan diri, kekuatan pentadbiran serta rekod baik pentadbiran negeri ini, beliau tidak payah sentuh orang lain lagi.
“Cakap…setakat ini apa yang beliau sudah buat untuk Kedah dan sampai sekarang dia tidak boleh bentang apa yang telah dibuat serta diperbaiki daripada segi ekonomi,” katanya. – UTUSAN






