NIBONG TEBAL: Wanita Pakatan Harapan (PH) menyasarkan kemenangan 30 peratus calon-calon wanita daripada sayap parti itu yang bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek berkata, selaras dengan hasrat itu, semua rundingan kerusi membabitkan kuota wanita sudah diselesaikan.
“Di peringkat Keadilan (PKR) khususnya, kita telah selesai rundingan kerusi, namun kita perlu bekerja keras sikit untuk pastikan matlamat itu tercapai.
“Timbalan Ketua Wanita PKR, Juwairiya Zulkifli diberikan tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihan Raya pada PRN nanti dan beliau akan memantau dari segi kuota wanita, persiapan serta pemilihan calon bagi memastikan kemenangan calon terpilih kelak.
“Setakat ini semua rundingan kerusi membabitkan kuota wanita sudah diselesaikan dan kita kini menunggu kerusi mana yang akan diberikan kepada calon wanita,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Korban Perdana Nibong Tebal di Masjid Al-Huda di Sungai Bakau, di sini hari ini yang menyaksikan sebanyak enam ekor lembu dikorbankan dan diagihkan kepada penduduk setempat.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ketua Wanita PKR berkata, menjadi hasrat parti untuk melihat lebih ramai wanita diberi peluang bertanding pada PRN akan datang.
“Saya akan terus mempertahankan 30 peratus kuota pimpinan wanita pada PRN kerana wanita sememangnya boleh membuat perubahan seterusnya menyumbang kepada negara.
“Kalau dapat lebih (calon wanita), maka kita akan rancakkan lagi perjuangan insya-Allah,” katanya. – UTUSAN






