PULUHAN ribu orang ramai yang ‘membanjiri’ Munajat Rakyat Kelantan: Ppakat Pertahan dan Amanat Pemimpin di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini kelmarin memberi isyarat Pas yang menggunakan simbol bulan akan terus ‘mengambang’ atau kekal mentadbir bumi serambi Mekah pada pilihan raya negeri (PRN) kali ini.
Situasi itu turut memberi isyarat, bulan kali ini akan mengambang lebih besar dan terang atau ‘Supermoon’ berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Malah keputusan PRU15 yang menyaksikan Pas menyapu bersih semua 14 kerusi Parlimen sekali gus menunjukkan sokongan rakyat kepada bulan sedikit pun ‘tok ggogek’ atau berganjak malah makin kukuh.
Menambahkan lagi kekuatan bulan pada PRN kali ini apabila ‘figura’ besar dalam UMNO iaitu Tan Sri Annuar Musa secara rasminya menjadi ahli Pas pada 10 Jun lalu selepas dibuang daripada parti keramat Melayu itu.
Tidak cukup dengan itu, kehadiran negarawan ulung Tun Dr. Mahathir berceramah di atas pentas Pas menambahkan keyakinan rakyat untuk terus memangkah bulan pada PRN nanti.
Kehadiran Dr. Mahathir yang menyarung ‘vest’ berwarna hijau putih disambut dengan laungan takbir dan sorakan bergemuruh oleh penyokong-penyokong Pas.
Setiap patah kata yang dilontarkan Dr. Mahathir dihayati penuh khusyuk oleh seluruh penyokong Pas seolah-olah memberi ‘isyarat’ segala perbalahan sebelum ini antara parti itu dengan tokoh berkenaan sudah dihapus sama sekali.
Kesetiaan penyokong terhadap Pas tidak luntur walaupun hujan lebat melanda kawasan Stadium Sultan Muhammad IV malah mereka kental menunggu untuk mengutip setiap amanat yang diberikan oleh pemimpin mereka.
Berpandukan situasi itu, Dr. Mahathir akan terus menjadi ‘senjata’ buat Pas dan PN untuk terus merobek kedudukan Pakatan Harapan (PH) terutama di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan nanti.
Pas dan PN melihat kemenangan di enam negeri pada PRN kali ini sebagai ‘pungutan suara’ rakyat tanda tidak berpuas hati terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Justeru, mengambil kira ‘aura’ itu gabungan Barisan Nasional-Pakatan Harapan (BN-PH) perlu bekerja lebih keras jika tidak mahu kehilangan kerusi yang sedia ada ketika ini.
Pastinya, Pas akan terus memainkan naratif lama seperti ‘anak tiri’ untuk terus memikat hati pada pengundi supaya kekal memberi mandat kepada mereka untuk PRN kali ini. – UTUSAN






