SHAH ALAM: Spekulasi kuat mengatakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar kali kedua di Istana Alam Shah, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu sekali lagi dinyatakan disokong sepenuhnya oleh pimpinan parti peringkat negeri supaya beliau dipilih memimpin kerajaan negeri bagi penggal seterusnya.
Selain itu, Amirudin dikatakan mendapat sokongan daripada Barisan Nasional (BN) yang memenangi dua kerusi iaitu Sungai Air Tawar dan Dusun Tua dalam gabungan PH-BN.
Menurut sumber, sehingga kini Amirudin diyakini mendapat sokongan daripada kesemua 34 ADUN untuk dipilih sebagai Menteri Besar.
“Tiada maklumat lanjut berhubung pengesahan ADUN yang dipilih sebagai Menteri Besar, itu tetap prerogatif Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan parti menuruti arahan untuk mengemukakan nama calon kepada baginda.
“Namun, sokongan adalah berat kepada Amirudin dan difahamkan beliau hadir ke istana hari ini (semalam) untuk menjalani raptai istiadat angkat sumpah yang secara rasminya diadakan esok (hari ini),” katanya ketika dihubungi.
Sumber itu berkata, bagaimanapun sebarang perubahan tertakluk kepada Sultan Sharafuddin yang dikatakan boleh berlaku pada saat-saat akhir.
Sebelum ini, tiga nama dilaporkan dihantar kepada Istana Selangor bagi dicadangkan sebagai Menteri Besar. Selain Amirudin, mereka adalah ADUN Seri Setia, Dr. Mohammad Fahmi Ngah dan ADUN Tanjong Sepat, Borhan Aman Shah.
Justeru, timbul spekulasi mengatakan Mohammad Fahmi disebut-sebut menggantikan Amirudin sebagai Menteri Besar bagi penggal kerajaan negeri ke-15.
Bagaimanapun, terdahulu Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) mencadangkan Amirudin yang juga Naib Presiden PKR dikekalkan sebagai Menteri Besar berdasarkan prestasi cemerlangnya mentadbir Selangor.
Dalam pada itu, sumber sama memaklumkan, selain tiga nama, terdapat maklumat berhubung cadangan nama ADUN yang dihantar kepada Sultan Selangor untuk dilantik ke jawatan tersebut.
“Saya difahamkan terdapat satu makluman kepada Istana dari PMO (Pejabat Perdana Menteri) yang mencadangkan calon Menteri Besar, saya juga diberitahu nama itu adalah Amirudin.
“Tetapi, saya enggan mengesahkannya kerana lebih baik kita tunggu sahaja sampai hari esok (hari ini) untuk lihat sosok yang akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada pukul 11 pagi,” katanya. – UTUSAN






