PUTRAJAYA: Kerajaan masih perlu melaksanakan program agihan bantuan dan subsidi kepada rakyat walaupun Dasar Gaji Progresif berjaya dilaksanakan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, dasar gaji itu dilaksanakan bertujuan membawa perubahan holistik kepada seluruh masyarakat dan ia tidak bermakna orang miskin akan terus dipinggirkan.
“Apabila gaji dinaikkan, tidak bermakna tiada orang lagi untuk dibantu kerajaan. Masih ada lagi orang di bawah paras kemiskinan yang perlu dibantu, cuma kita mahu kurangkan golongan itu.
“Selepas itu, barulah kita boleh sasarkan subsidi dan bantuan kerajaan dengan lebih baik dan lebih tepat kepada orang yang memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 di sini hari ini.
Katanya, jika kerajaan mahu melaksanakan subsidi bersasar, perkara utama yang perlu diselesaikan dahulu adalah soal gaji rakyat.
Rafizi berkata, jika subsidi bersasar dibuat dan pada masa sama, soal gaji tidak diselesaikan, maka makin ramai rakyat akan ditolong oleh kerajaan.
Menurutnya, pekerja tempatan sepatutnya dibayar dengan gaji yang lebih adil dan mereka berhak mendapat keadilan itu.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, kertas cadangan dasar dan model gaji progresif ini akan dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Isnin ini.
Jelasnya lagi, secara dasarnya, model gaji itu sudah melalui libat urus antara majikan pelbagai sektor dan setakat ini, ia diterima baik dan positif.
Bagaimanapun, katanya, jika dasar ini dilaksanakan, ia juga memerlukan komitmen dan implikasi kewangan kepada kerajaan sama seperti kerajaan menyediakan hospital dan jalan raya.
“Sebelum ini, kenaikan gaji hanya berlaku dalam sektor awam dan ia tidak berlaku dalam sektor swasta kerana tiada dasar progresif yang jelas,” katanya.
Katanya, Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) Suku Pertama 2023 yang dibentangkan pada hari ini mendedahkan keadaan sebenar paras gaji pekerja di negara ini.
Selain itu, katanya, pihaknya mendapati majikan menggunakan gaji minimum RM1,500 sebagai rujukan menetapkan gaji permulaan bagi semua sektor sedangkan ia gaji minimum untuk pekerja tidak berkemahiran.
“Dasar gaji progresif itu kelak akan merangkumi kelayakan, kemahiran, perbezaan umur dan mengambil kira sama kos sara hidup serta purata garis kemiskinan,” katanya. – UTUSAN






