PETALING JAYA: Hari ini lebih 9.7 juta pengundi bakal memuktamadkan pilihan mereka sama ada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bagi menerajui enam negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.
PH-BN yang pertama kali menjalin kerjasama dalam satu pakatan berhasrat merampas dua negeri ditadbir oleh PN iaitu Kedah dan Terengganu selain mengekalkan tiga negeri di bawah penguasaan mereka sebelum ini iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan..
PN pula yakin kekal di Kelantan,Terengganu dan Kedah dan menyasarkan tiga negeri yang dikuasai PH sekali gus mahu menjadikan kemenangan tersebut sebagai referendum kepada kerajaan perpaduan.
Pertembungan dua gabungan parti itu dijangka sengit dengan setiap parti menawarkan manifesto di setiap negeri terlibat bagi menarik minat pengundi di semua 245 kerusi yang dipertandingkan.
Di Pulau Pinang, PH dan BN menawarkan Manifesto Perpaduan Pulau Pinang 2023 dengan 16 tema utama selain menyentuh 15 perkara penting manakala PN Pulau Pinang pula menggariskan lapan teras dan 33 tawaran bagi memanfaatkan seramai 1.7 juta penduduk negeri itu.
PN Kedah pula menampilkan 17 tawaran bertemakan ‘Kekal Sanusi, The Greater Kedah’ bagi memikat seramai 1.58 juta pengundi negeri itu, dengan PH dan BN Kedah pula menggariskan empat teras utama dalam manifesto Kedah Madani sekiranya berjaya menawan negeri itu.
Seramai 3.74 juta pengundi di Selangor disajikan dengan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Selangor yang mengandungi lima teras utama oleh gabungan Kerajaan Perpaduan, manakala PN menyediakan tujuh tunjang utama, 25 pendekatan serta 112 tawaran menerusi ‘Selangor Baharu, Kita Bangkit’.
Di Negeri Sembilan, PH dan BN menawarkan Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan, berteraskan lima tekad dengan 10 teras utama menggariskan 70 inisiatif manakala PN mengemukakan lapan inisiatif kepada sejumlah 864,425 pengundi negeri itu.
BN Terengganu pula menumpukan lima teras utama menerusi tawaran bertemakan ‘Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran’ manakala Pas Terengganu mengumumkan 10 tawaran kali ini selepas melaksanakan kesemua 20 tawaran manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
PN Kelantan memperkenalkan 18 manifesto melibatkan 96 program untuk kemajuan semua peringkat rakyat sebagai usaha mengekalkan penguasaan lebih 30 tahun manakala BN dan PH menggariskan empat teras utama dengan 34 tawaran bagi merampas negeri itu.
Sementara itu, pemimpin kedua-dua gabungan tersebut melahirkan keyakinan mereka terhadap sokongan daripada pengundi sekali gus bakal membentuk kerajaan negeri di enam negeri terlibat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut menyuarakan keyakinannya terhadap kemenangan kerajaan perpaduan pada PRN kali ini susulan kebangkitan sokongan yang ditunjukkan rakyat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu yakin sokongan amat positif berdasarkan sambutan yang ditunjukkan oleh rakyat setiap kali beliau turun padang berkempen.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula yakin dengan petanda awal ‘Gelombang Perikatan Nasional’ pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berterusan pada PRN kali ini dan sebagai referendum rakyat kepada kerajaan Pusat.
Ini kerana penolakan terhadap kerajaan perpaduan akan menjadi isyarat rakyat di negara ini tidak mahu Anwar diangkat sebagai Perdana Menteri.
Di sebalik keyakinan gabungan Kerajaan Perpaduan dan PN selepas 13 hari tempoh berkempen, beberapa pihak termasuk badan pemikir pula menjangkakan pentadbiran kerajaan di enam negeri akan kekal.
Ini bermakna PH dan BN kekal menguasai Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, manakala PN pula mempertahankan Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Selain itu, pelbagai isu panas giat dimainkan parti-parti bertanding bagi menarik sokongan terutamanya pengundi atas pagar sepanjang tempoh PRN ini, walaupun kebanyakan serangan berkisar tentang isu lama yang pernah dijawab.
Keghairahan tersebut menyebabkan aktiviti saman menyaman antara pemimpin politik semakin hebat menjelang PRN selepas tuduhan dilemparkan disifatkan tidak berasas atau tanpa dikemukakan bukti bagi menguatkan dakwaan berkenaan.
PRN kali ini menyaksikan seramai 571 calon bertanding bagi merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 181 daripada kerusi itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu.
Pertandingan lima penjuru hanya direkodkan di satu kerusi iaitu di DUN Lunas, tiga penjuru (51 kerusi) dan empat penjuru 13 kerusi. – UTUSAN






