MELAKA: Sekolah Henry Gurney (SHG) yang menempatkan remaja bermasalah dan disabitkan dengan kesalahan jenayah bukan sebuah penjara seperti yang disangka ramai.
Malah pelajar yang keluar daripada sekolah tersebut juga tidak direkodkan sebagai banduan yang sekali gus memberi keyakinan kepada penghuninya untuk berhadapan masyarakat tanpa rekod lampau mereka diketahui ramai.
Institusi pemulihan di bawah Jabatan Penjara itu bukanlah platform pelaksanaan hukuman semata-mata, sebaliknya ia adalah titik permulaan buat remaja terbabit untuk berubah dan membina kehidupan lebih baik.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Pengarah SHG Telok Mas di sini, Penolong Komisioner Penjara Zan Azim Aziz berkata, bekas pelajar sekolah berkenaan tidak disenaraihitamkan dan tidak mendapat gelaran ‘bekas banduan’.
Beliau berkata, mereka boleh meneruskan kehidupan seperti biasa sama ada melanjutkan pengajian ke peringkat universiti, bekerja di sektor awam dan swasta memandangkan SHG turut menawarkan bidang akademik melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“SHG sebuah sekolah ia bukan penjara, kita mendidik remaja terlibat supaya mereka suatu hari nanti menjadi warganegara yang berguna. Kita tidak boleh lari apabila disebut SHG itu sebagai sekolah budak jahat.
“Kalau kita selami kembali kehidupan mereka dari umur yang awal sudah membawa diri. Kadang-kadang umur 10 tahun, 11 tahun sudah berpisah dengan ibu bapa, hidup sendiri sudah bekerja. Jadi, bayangkan apa yang mereka lalui?
“Apabila terbabit dengan kesalahan jenayah dan ditangkap, mahkamah melalui perintah tahanan menghantar mereka ke sini untuk dipulihkan bukan untuk dihukum. Mereka yang keluar daripada SHG tidak dicop sebagai bekas banduan, kebanyakannya apabila bebas menjadi penjawat awam malah ada yang berkhidmat dengan Jabatan Penjara sendiri,” katanya ketika ditemui.
Katanya, boleh dikatakan lebih 90 peratus individu yang ditempatkan di SHG adalah atas kesalahan juvana yang datang daripada keluarga berantakan dan terkongkong dengan persekitaran negatif sehingga mengakibatkan mereka terlibat dengan kesalahan seperti penyalahgunaan dadah, seksual dan kekerasan.
Di SHG Telok Mas di sini, seramai 533 penghuni sedang menjalani proses pemulihan dengan 496 daripadanya berada dalam sekolah, baki 37 penghuni pula mengikuti Program Pelepasan Berlesen (PPB) di luar.
SHG yang menempatkan remaja berusia antara 14 hingga 21 tahun merupakan institusi yang menahan penghuni di bawah umur atas perintah Mahkamah Bagi Kanak-kanak kerana kesalahan atau penilaian laporan akhlak daripada pegawai akhlak.
Mengulas statistik kesalahan juvana dilakukan penghuni, Zan Azim memaklumkan, penyalahgunaan dadah mencatatkan peratusan tertinggi iaitu sebanyak 39.4 peratus bersamaan 210 kes.
Beliau berkata, majoritinya mengambil dadah jenis methampetamine atau nama lainnya seperti ice, syabu dan batu yang mudah didapati serta murah.
Bagaimanapun, ujarnya, jumlah kemasukan ke SHG Telok Mas menunjukkan penurunan mendadak hampir 50 peratus sejak dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Sekarang penghuni di SHG berjumlah 533 orang, separuh daripada kebiasaan kerana sekolah ini sebelum pandemik dihuni antara 800 hingga 1,000 orang. Antara faktor yang menjadi penyumbang kepada angka ini adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Selain itu, pihak mahkamah pada hari ini banyak menjatuhkan hukuman khidmat masyarakat dan bon berkelakuan baik kepada pesalah juvana,” jelasnya.
SHG mula diperkenalkan tahun 1949 dengan nama asalnya “Sekolah Akhlak Tertinggi” sebelum ditukar kepada “Sekolah Latihan Pemuda” pada tahun 1950 dan berubah untuk kali ketiganya menjadi “Henry Gurney School” pada 15 Mei 1950.
Sekolah itu dinamakan Henry Gurney sempena nama mendiang Pesuruhjaya British ke Tanah Melayu dari 1948 hingga 1951 dan pernah terlibat dalam mengekang pengaruh komunis di negara ini.
Selain Telok Mas, terdapat dua buah lagi SHG iaitu di Keningau dan Kota Kinabalu, Sabah. – UTUSAN






