PETALING JAYA: Siasatan akhir nahas jet eksekutif di Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu kini menjurus kepada sistem kawalan penerbangan pesawat yang dipercayai menjadi punca kemalangan berlaku.
Laporan awal siasatan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 itu termasuk berdasarkan analisis rakaman kotak perakam suara kokpit (CVR) juga mengesahkan kedua-dua juruterbang sihat untuk menerbangkan pesawat, tiada pelanggaran dengan objek asing di udara dan pesawat mematuhi syarat penyelenggaraan.
Dalam dokumen yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) Kementerian Pengangkutan itu semalam, punca sebenar nahas hanya akan dijelaskan dalam laporan akhir yang dijangka dikeluarkan pada Ogos tahun depan selaras dengan Annex 13 Majlis Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) yang memperuntukkan tempoh 12 bulan daripada kemalangan tersebut berlaku.
“Fail audio pesawat berkenaan yang berjaya dimuat turun kemudian diberikan kepada tiga agensi iaitu BSKU, Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan (TSIB) Singapura dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) AS untuk dianalisis.
“Analisis awal bagi rakaman CVR yang dipulihkan telah memberikan petunjuk kritikal kepada membongkar punca kemalangan, dengan fokus pada sistem kawalan penerbangan pesawat.
“Hasil pemeriksaan bahagian pesawat berkaitan belum selesai dan komponen berada di makmal Lembaga Keselamatan Pengangkutan Negara (NTSB) dan makmal pengilang peralatan asal (OEM). Ia perlu menyediakan laporan di dalam bukti konklusif dalam menentukan punca kemalangan,” kata laporan itu.
Bagaimanapun laporan awal insiden itu tidak mendedahkan rakaman suara kokpit walaupun fail audio daripada CVR pesawat berjaya dipulihkan oleh Makmal L3Harris Technologies di St Petersburg, Florida, Amerika Syarikat (AS) pada 28 Ogos lalu selepas gagal dilakukan di makmal Singapura.
Pada 17 Ogos lalu, negara dikejutkan dengan nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina dan mengorbankan 10 individu termasuk seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Seri Johari Harun antara individu disahkan maut di samping dua juruterbang dan enam penumpang dalam kejadian yang berlaku pada pukul 2.48 petang.
Pesawat itu dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang menuju ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang sebelum terhempas di Elmina Central Park, Seksyen U16, Shah Alam.
Pada masa sama, laporan awal nahas itu juga menolak faktor ketidakupayaan dan kesihatan juruterbang sebagai punca nahas.
Katanya, pesawat dan mangsa tidak dapat diselamatkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.
“Pesawat itu juga mempunyai lesen dan layak untuk melakukan penerbangan mengikut peraturan sedia ada. Kejadian berlaku pada waktu siang dengan penglihatan yang jelas dan keadaan meteorologi yang baik dengan jarak penglihatan 10 kilometer,” kata laporan itu.
Dalam pada itu, laporan awal memaklumkan tiada bukti penemuan objek asing di kedua-dua belah enjin kiri dan kanan pesawat berkenaan.
Selain itu, kedua-dua enjin tidak mempunyai bukti bilah kipas terjejas seperti kemek, tebuk dan bulu burung pada mana-mana komponen enjin.
Dalam pada itu, laporan awal nahas itu menyebut, enjin sebelah kanan pesawat tersebut terpecah kepada tiga segmen yang berbeza iaitu kipas; pemasangan sarung kipas dengan bilah Tekanan Perantaraan (IP) dan Alat Pemampat Tekanan Tinggi dan Bahagian Panas.
“Berdasarkan analisis visual dan pemerhatian di tempat kejadian, hujung sayap kanan pesawat itu merupakan bahagian pertama yang menghentam bumi, sebelum disusuli serta-merta dengan bahagian muncung hadapan pesawat itu pada kelajuan tinggi,” katanya.
Laporan setebal 60 halaman itu mengatakan bahawa pecutan jangka pendek (0.1-0.5 saat) yang biasa dilihat dalam pelanggaran pada kelajuan tinggi, membawa kepada kematian penumpang pesawat.
“Impak sekuat ini, corak pelanggaran dan magnitud yang melebihi had toleransi manusia, menunjukkan ini bukan kemalangan yang boleh diselamatkan,” menurut laporan itu.
Merujuk kepada kebakaran susulan nahas, laporan tersebut mendedahkan. pelanggaran dahsyat pesawat itu ke tanah di samping kewujudan bahan api mudah terbakar di dalam tangki pesawat, telah mencetuskan kebakaran yang dahsyat.
Menurutnya, kebakaran itu menyambar seluruh badan pesawat, penumpang pesawat serta pemandu sebuah kereta dan penunggang motosikal.
“Beberapa mayat hangus. Tiada mangsa yang terselamat dalam kemalangan dahsyat ini,” menurut laporan itu. – UTUSAN






