PETALING JAYA: Sebanyak 11,266 syarikat dengan tunggakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bernilai jutaan ringgit telah disenarai hitam Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).
Syarikat terlibat merupakan sebahagian daripada 26,000 syarikat perniagaan yang belum melangsaikan bayaran GST sehingga tertunggak hampir RM2.1 bilion.
Bercakap kepada Nexbyte, Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Zazuli Johan berkata, jumlah syarikat yang ingkar itu membabitkan dua peratus daripada 470,000 syarikat yang berdaftar GST yang telah dimansuhkan lima tahun lalu.
“Sebanyak 11,266 syarikat telah diambil tindakan kerana kegagalan melunaskan tunggakan GST dengan menyenarai hitamkan nama pemilik atau lembaga pengarah daripada ke luar negara.
“Bagaimanapun, jika mereka ingin keluar negara, pemilik atau lembaga pengarah syarikat itu boleh membayar 10 peratus daripada jumlah tunggakan bagi mengeluarkan nama mereka daripada senarai sekatan ke luar negara,” katanya ketika dihubungi di sini baru-baru ini.
Dalam pada itu, menurut Zazuli, setakat ini sebanyak 359 entiti perniagaan telah mengambil bahagian dalam Program Pengakuan Sukarela (VDP) sejak dilaksanakan bermula 1 Jun lalu.
Jelas beliau, jumlah hasil terkini yang diikrar bagi pembayaran tunggakan GST adalah sebanyak RM36.5 juta.
“Dalam tempoh sama, kita telah memperoleh pembayaran ansurans kira-kira RM2.4 juta.
“Justeru, kita mengalu-alukan pemilik syarikat atau lembaga pengarah yang mempunyai tunggakan tampil ke program VDP bagi melunaskan hasil cukai kepada negara,” ujarnya.
April lalu, Nexbyte melaporkan sebanyak 26,000 syarikat dan entiti perniagaan belum membayar tunggakan GST hampir RM2.1 bilion, walaupun cukai itu dimansuhkan pada 2018.
Zazuli dilaporkan berkata, tunggakan itu termasuk penalti ke atas semua syarikat dan entiti perniagaan lewat membayar GST yang dilaksanakan pada 2015.
“Tahun lalu, kita mendapati lebih 10,000 entiti perniagaan membuat penyelesaian bayaran tunggakan GST, termasuk nilai penalti berjumlah RM800 juta.
“Kita tidak pernah berdiam diri, sebaliknya mengambil pelbagai pendekatan dan tindakan bagi mendapatkan semula hasil negara itu termasuk melalui pendakwaan di mahkamah dan sekatan ke luar negara,” ujarnya. – UTUSAN






