TELUK INTAN: Pernah terbiar seperti kayu buruk, namun tangki air yang dibina pada tahun 1885 di tengah-tengah bandar ini kini menjadi ikon pelancongan membanggakan.
Kini ia lebih dikenali dengan Menara Condong Teluk Intan dan seringkali kali juga disamakan dengan Menara Pisa di Itali kerana persamaan dari segi keunikan struktur kedua-dua menara itu.
Esok menara itu bakal memasuki usia 139 tahun dan dalam sejarah panjangnya, selain pernah berfungsi sebagai tangki air dan rumah api, ia kini menjadi tempat rujukan kerana terdapat jam besar di atas menara selain ikon pelancongan.

Seperti tarikh pembinaannya yang tidak dapat dipastikan secara tepat, punca menara itu condong juga tidak diketahui.
Jika tidak kerana kecondongannya, menara itu mungkin hanyalah sebuah bangunan biasa, bangunan lama yang mungkin tidak menarik perhatian siapapun.
Tidak sekadar nampak condong dari luar, mereka yang naik ke dalam bangunan yang diperbuat daripada kayu dan batu setinggi tiga tingkat ini akan merasai pengalaman unik, kerana akan merasai kecondongan menara itu apabila melalui lantai kayu yang senget.
Pelancong tempatan, David Chan, 60, ketika ditanya pengalaman pertama kali naik ke menara itu berkata, pada awalnya dia teragak-agak sama ada mahu naik atau tidak ke dalam bangunan itersebut.
Namun, kerana menemani anaknya, David melangkah masuk dengan perasaan takut-takut.
“Di tingkat bawah bangunan ini saya masih tidak rasa apa-apa namun apabila naik ke tingkat dua dan ketiga, saya mula rasa sehingga berjalan pun tidak stabil, rasa senget disebabkan keadaan lantainya yang senget mengikut kecondongan bangunan, sehingga hendak melangkah pun tangan terpaksa berpegang pada dinding.
“Macam-macam saya fikirkan dan pelbagai persoalan yang datang. Adakah bangunan ini kukuh, adakah asasnya masih stabil sebab usianya sudah lebih 100 tahun.
“Apatah lagi ketika berada di tingkat atas bangunan merasai tiupan angin yang kuat. Apa pun dapat naik sehingga ke atas dan melihat sendiri keadaan dalam bangunan ini, ia satu pengalaman yang menakjubkan,” katanya.
Beliau tetap melahirkan rasa kagum terhadap bangunan itu yang masih berdiri megah walaupun hanya diperbuat daripada kayu dan batu bata, seperti tidak dimakan usia.
Katanya, teknologi pembinaan tradisional pada bangunan itu cukup mengagumkan kerana mampu menampung bebanan bangunan sehingga lebih satu abad.

“Saya puji rekaannya yang sangat unik, kayu-kayu besar dan kukuh, kuat dan luar biasa, tiang-tiangnya berbentuk bulatan bukan senang mahu buat bentuk bulat menara macam ini, pastinya arkitek yang mereka bentuk dan pihak yang membina bangunan ini sangat bijak,” katanya.
Begitupun, David tetap tertanya-tanya adakah bangunan itu masih statik kecondongannya atau semakin hari semakin bertambah condong.
Untuk memastikan perkara tidak diingini seperti kecondongannya bertambah, dia menyarankan supaya kajian dilakukan terhadap perkara itu.
“Saya berharap pihak berkenaan membuat persediaan awal dengan membina atau memasang satu struktur sokongan di bawah, di keliling menara ini supaya kecondongannya dapat bertahan dalam tempoh yang lama.
“Kami mahu melihat menara ini terus berdiri dalam keadaan stabil. Menara ini akan terus menjadi kebanggaan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Zairul Akmal Kasim berkata, memang ada cara untuk membuktikan menara itu condong iaitu dengan berdiri pada tembok di kedua-dua belah menara.
“Kalau kita berdiri pada tembok di sudut yang menghadap ke timur dan kita ukur, kita akan dapati tembok itu berada di bawah bahu kita.
“Tetapi jika kita berdiri pada tembok pada sudut yang berlawanan iaitu menghadap sudut ke barat, kita akan dapati temboknya lebih tinggi daripada bahu kita.
“Dari segi kecondongannya, saya pun tanya soalan yang sama, berapa darjah kecondongannya setiap tahun tetapi sudah disahkan menara itu statik macam itu sahaja. Di bawah menara itu dahulu ada tempat simpanan air tetapi sudah kering dan tidak ada berlaku rekahan.
” JKR pun tidak pernah isytiharkan bangunan ini tak selamat, pelancong boleh naik sampai ke atas menara,” ujarnya.

Menara ditutup pada Jun ini
Zairul Akmal berkata, menara itu mungkin akan ditutup kepada pelancong pada Jun tahun depan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja menggantikan kayu yang terdapat pada binaan menara itu.
Menurutnya, beliau difahamkan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang merupakan agensi pelaksana sudah membuat penilaian terhadap kerja naik taraf di menara itu melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta.
“Menara Condong antara produk pelancongan di sini yang kita sentiasa berikan perhatian kerana ia merupakan tumpuan utama pelancong ke sini,” katanya.
Menurutnya, menara itu pernah menjalani proses baik pulih pada tahun 2001 melibatkan proses penggantian atap dan lantai dan bahagian-bahagian lain dengan kos RM350,000 yang dibuat oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti pada masa itu.
“Ini bermakna sudah 22 tahun selepas kerja baik pulih di menara ini, menara ini akan dibaiki semula melibatkan penggantian kayunya,” katanya.
Menara itu menjadi tarikan utama dengan peningkatan kedatangan pelancong yang drastik selepas wabak Covid-19.
Katanya, disebabkan wabak itu hanya 9,250 pelancong dicatatkan mengunjungi menara itu pada tahun 2021.
“Namun jumlah pelancong melonjak kepada 73,787 pada tahun 2022 dan setakat September lalu, jumlah pelancong mencatat 48,824 orang,” katanya.
Menurutnya, disebabkan bangunan itu berada di bawah bangunan warisan, MPTI membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada tahun 2021 untuk pemuliharaan bangunan ini.
“MOTAC yang membuat penilaian meluluskan peruntukan RM4 juta untuk kerja-kerja naik taraf dan pemuliharaan dengan JKR sebagai agensi pelaksana,” katanya.
Menurutnya, sempena Tahun Melawat Perak 2024, pihaknya menjangkakan menara itu terus menjadi tumpuan pelancong dengan sasaran peningkatan jumlah pengunjung.
Katanya, Menara Condong itu menjadi pelengkap kepada beberapa destinasi pelancongan di Teluk Intan antaranya Pulau Bangau iaitu sebidang tanah beting di Sungai Perak yang menjadi tempat burung hijrah bersarang, Sky Mirror di Beting Beras Basah yang terkenal dengan fenomena pantulan unik semasa air laut surut, Taman Bunga Matahari Bagan Datuk, masjid terapung, Masjid Tuminah Hadimi, juga Jambatan Sultan Nazrin Shah.

‘Pernah terbiar macam tunggul kayu buruk’
Menara Condong yang ada pada hari ini pernah terbiar satu ketika dahulu, namun atas usaha Presiden Persatuan Karyawan Perak, Zabidin Ismail, 67, beliau bertekad menjenamakan semula menara itu pada awal tahun 1990-an.
Beliau merupakan penulis buku ‘Menara Condong Teluk Intan’ iaitu satu-satunya buku mengenai menara itu yang ditulis menerusi kajian mendalam.
Zabidin, yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertua Persatuan Jalinan Rao (Rawa) Malaysia menceritakan, sebelum tahun 1990-an, menara itu terbiar dan tidak dikenali seperti hari ini.
Menurutnya, ketika itu beliau bertugas sebagai Pegawai Jabatan Penerangan Daerah Hilir Perak dan sebelum tahun 1990-an, di sekeliling bangunan menara itu terdapat gerai makan, gerai ubat serta toko kain batik dan pelekat.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan menara itu tidak kelihatan di mata awam, lantas tidak dipedulikan lagi oleh penduduk tempatan meskipun setiap 15 minit jam pada menara itu berbunyi.
“Ketika itu, menara ini terbiar macam tunggul kayu buruk, sehinggakan tembok bangunan menara jadi tempat orang menyandarkan basikal dan beca, ketika itu di bandar ini terdapat banyak beca.
“Kalau nak dekat dengan bangunan ini pun rasa geli sebab di kawasan ini dahulunya becak,” katanya.

Menurutnya, disebabkan satu faktor yang beliau tidak boleh dedahkan, beliau berpendapat menara itu perlu dijenamakan semula dan beliau memulakan usaha bersama beberapa rakannya.
Beliau mencadangkan kepada Pegawai Daerah Hilir Perak pada ketika itu, Datuk Mustapha Saad supaya nama menara itu diubah daripada Jam Tinggi kepada Menara Condong Teluk Intan.
“Pegawai Daerah bertanyakan kepada saya kenapa hendak tukar nama kepada Menara Condong? Saya kata kalau dinamakan Menara Condong, ia akan menjadi menara condong kedua di dunia selepas Menara Condong Pisa di Itali.
“Maka diadakanlah ‘Malam Puisi Menara Condong’ anjuran Persatuan Karyawan Perak pada 10 Disember 1994 dan pada malam itu juga menara ini diisytiharkan secara rasmi dengan nama baharu ialah Menara Condong Teluk Intan menggantikan nama lamanya Jam Besar,” katanya.
Zabidin mengakui tidak menyangka usahanya itu dan rakan-rakannya dalam Karyawan Perak telah mengubah landskap menara itu sehingga cukup terkenal di dunia hari ini.
Katanya, selepas dijenamakan semula, para peniaga di pasar berdekatan menara itu dipindahkan manakala peniaga lain juga ditempatkan di premis baharu berdekatan menara itu.
“Peruntukan sebanyak RM340,000 untuk membuat dataran yang dipasang jubin dan dipasang lampu seperti yang ada. Dalam hal ini, Pegawai Daerah memang banyak berjasa membangunkan menara ini,” katanya.
Menurutnya, dalam membuat kajian sebelum menulis buku Menara Condong Teluk Intan, beliau selalu bertemu dengan petugas yang mengunci jam di menara ketika itu, yang dikenali sebagai S. Subramaniam.
Katanya, jam di menara itu yang berfungsi secara manual perlu dikunci menggunakan engkol pada setiap hari Rabu.
Beliau memberitahu, menara itu memiliki kecondongan atau senget 16 darjah arah barat dan yakin menara itu masih kukuh serta tidak akan roboh.
“Di bawah menara itu terdapat sebuah telaga, bangunannya disokong empat tiang yang terletak di telaga.
“Kalau apa-apa berlaku di bahagian bawah, menara ini tetap berdiri, itu yang menjadikan menara ini kukuh. Menara ini unik, di tempat lain di dunia tak ada menara seperti ini,” katanya.
Mengenai faktor mengapa menara itu condong, Zabidin berkata, banyak faktor menyebabkan kecondongan dan kebanyakan ahli kaji bumi merumuskan kecondongan berpunca daripada struktur tanah dan kejadian banjir besar.
Juga pengguguran bom di sekitarnya juga menyumbang kepada kecondongan menara itu.
“Tidak dapat dipastikan bila menara ini mulai condong,” katanya.
Beliau berharap usaha dilaksanakan untuk mengindahkan lagi kawasan menara itu antaranya kawasan dataran di menara itu sewajarnya ditukar kepada tempat untuk pengunjung bersantai bukannya kawasan lapang sahaja.
“Saya juga berharap kawasan dataran tidak dijadikan tapak untuk apa-apa acara atau dipasang khemah, ia tidak sesuai.
“Lebih baik kawasan lapang di dataran itu dihias dengan air pancut, ditanam dengan pokok-pokok supaya pengunjung lebih selesa untuk bersiar-siar, suasananya lebih redup.
“Kalau malam, air pancut yang dipasang lampu akan menjadikan kawasan sekitarnya bercahaya, ini lebih menarik. Ini yang patut difikirkan, jangan biar dataran ini kosong sebab ini tarikan pelancong,” katanya.
Dua dekad jaga jam manual Menara Condong

Setiap 15 minit, jam besar atau jam gadang di Menara Condong di sini akan berdenting.
Namun ramai yang tidak mengetahui ada individu yang bertugas bagi memastikan jam besar itu berbunyi sekerap 15 minit sekali.
Individu itu ialah Hisham Sahak, 44, iaitu Pembantu Am di Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang sudah hampir dua dekad menjaga jam berkenaan.
Menurutnya, dia menjaga dan memastikan jam lama itu terus berfungsi secara manual iaitu jam buatan firma JW Benson-Ludgatehill dari London sejak 2004 lagi.
Katanya, disebabkan jam itu bergerak secara manual, bagi mengekalkan fungsi dan pergerakan waktunya, jam perlu dikunci pada Rabu setiap minggu.
“Jam ini akan berdenting setiap 15 minit dan setiap kali berbunyi, kabel besi pemberat yang bersambung dengan jam akan turun sedikit demi sedikit sehingga ke lantai di tingkat paling bawah menara.
“Apabila cukup seminggu, kabel besi pemberat perlu dinaikkan semula dengan menggunakan engkol bagi membolehkan ia bergerak seperti biasa.
“Jika jam tidak dikunci pada waktu ditetapkan, ini akan menyebabkan pemberat yang diikat menggunakan kabel khas terdampar di bahagian bawah menara berkenaan, ini akan menyebabkan pergerakan jam henti,” katanya.
Hisham yang merupakan anak kelahiran Teluk Intan itu berkata, dia mengambil alih tugas menjaga jam itu daripada penjaga asal yang bersara.
Katanya, dia tidak mengambil masa yang lama untuk mempelajari dan mengenal pasti fungsi serta sistem jam berkenaan.
“Secara asasnya saya tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam bidang ini. Saya tak belajar atau menghadiri mana-mana kursus untuk belajar operasi sistem jam ini.
“Ia lebih kepada minat sahaja yang menyebabkan saya mampu mengetahui dan memahami bagaimana jam ini berfungsi,” katanya.
Katanya, sepanjang menjaga jam itu, ia pernah mengalami kerosakan.
“Komponen gantian semuanya diimport dari London dan kos membaiki kira-kira RM18,000,” katanya.
Hisham mengakui berbangga menjadi antara orang di sebalik tabir dalam memastikan jam di menara terus berdenting apatah lagi Menara Condong semakin menjadi tumpuan pelancong.
“Saya rasa puas setiap kali mendengar jam ini berbunyi.
“Saya berharap jam ini akan terus berbunyi sampai bila-bila dan menara ini terus kekal menjadi tumpuan pelancong,” katanya. – UTUSAN






