PETALING JAYA: “Saya kerja dari pukul 10 pagi sehingga 11 malam pendapatan saya hanya RM35.”
Begitulah luahan nasib seorang penghantar makanan Grabfood yang terkesan dengan penurunan kadar upah minimum dari RM5 kepada RM3.50 Selasa lalu.
Ahli Persatuan Rakan Penghantar Melaka, Yasser Rosli berkata, para penghantar makanan merayu kepada pihak yang berkenaan supaya mendengar keluhan nasib penunggang p-hailing yang seolah-olah ditindas dengan bayaran tidak setimpal.
“Kalau ikutkan di Melaka, kadar upah sebelum ini RM5 turun kepada RM4.50 dan selepas itu yang terbaru penunggang hanya dibayar RM1 untuk satu pesanan.
“Apabila timbul isu penurunan kadar upah ini, sesiapa sahaja akan rasa tidak berpuas hati seperti dari RM5 turun ke RM1 sejak tiga hingga empat hari yang lalu,” katanya ketika ‘Kempen Grab Blackout’ di sini, semalam.
Bercakap kepada Nexbyte, Yasser berkata, Grab tidak memaklumkan kepada semua penghantar dan menurunkan kadar upah dengan secara tiba-tiba, Selasa lalu.
“Saya sangat terkesan dengan penurunan kadar upah ini walaupun penurunannya hanya RM1 kerana ia amat bermakna untuk saya meneruskan kehidupan seharian saya.
“Sebagai contoh, kami dapat satu pesanan dengan kadar upah RM3.50, kami perlu tunggu makanan siap dalam 10 minit selepas itu kami kena hantar kepada pelanggan mengambil masa 15 minit. Jadi dengan kadar upah tersebut ia amat merugikan kami,” katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, mereka telah membuat perbincangan dengan pihak Grab untuk menyelesaikan isu kadar upah dengan segera.
Menurutnya, persatuan tersebut membincangkan lima perkara itu di Grab Driver Centre ketika kempen Grab Blackout di sini semalam.
“Salah satu perkara yang kami bincang adalah untuk mengembalikan kadar upah yang asal kepada RM5 untuk dua kilometer pertama di kawasan lembah Klang.
“Kawasan luar Lembah Klang pula kami meminta agar pihak Grab naik semula kadar upah kepada RM4.50 seperti sebelum ini,” katanya. – UTUSAN






