KUALA LUMPUR: Empat wanita yang dikaitkan dengan video `Hot Daddy’ dalam aplikasi X, masing-masing didenda antara RM2,500 dan RM4,800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam kerana memiliki video lucah dalam telefon bimbit masing-masing.
Bagaimanapun, dua lagi tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sama.
Empat mereka itu ialah Nurnabilah Ayuni Hanafi, 22; Amira Natasha Mohammad, 26; Farah Adila Hanum Khairuddin, 36, dan Nur A’liaa Muhammad Rosly, 22.
Nurnabilah Ayuni (penganggur) dan Amira Nastasha (pemandu pelancong) yang didakwa di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim, masing-masing didenda RM3,000.
Farah Adila (eksekutif pemasaran) yang didakwa di hadapan Majistret Noorelynna Hanim Abd. Halim didenda RM2,500 manakala Nur A’liaa (penuntut universiti) yang didakwa di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan didenda RM4,800.
Mahkamah memerintahkan semua tertuduh dipenjara antara satu bulan dan enam bulan, jika gagal membayar denda. Mereka menjelaskan denda masing-masing.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Unit Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) di Wangsa Maju di sini pukul 5 petang kelmarin.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semua tertuduh diwakili peguam, Aisyah Rahim dan peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nicholas Cheoh serta Ernie Ahmad.
Sementara itu, dua lagi wanita iaitu Felecia Lisa Nandong, 21; dan Norfatihah Ramle, 30, yang turut didakwa atas pertuduhan sama, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Izzah Shaharuddin dan Majistret S. Arunjothy.
Kesalahan didakwa dilakukan di lokasi sama dan dituduh mengikut pertuduhan di bawah seksyen serupa.
Mahkamah kemudian membenarkan Felecia (penuntut kolej swasta) diikat jamin RM2,000 manakala Norfatihah (akauntan) diikat jamin RM3,000. Tarikh 12 Mac dan 26 Mac ini ditetapkan bagi sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Nurhafiezah Mohamed Fauzi, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal, Zuhairi Osman, Sheryn Yong Shi Yee dan Nor Aisyah Mohamed Zanyuin.
Kedua-dua tertuduh diwakili peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie dan Zamier Abu Bakar.
Media sebelum ini melaporkan polis menahan enam wanita bagi membantu siasatan berhubung kes ‘Hot Daddy’ yang disyaki menjalankan aktiviti merakam dan menjual video hubungan seks dengan lebih 20 wanita melalui aplikasi media sosial. – UTUSAN






