KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mengatur gerak dakwah secara tersusun akan menghasilkan natijah dan impak yang lebih berkesan dalam mengajak manusia kepada Islam.
Titah baginda, pada masa yang sama kerjasama antara organisasi-organisasi dakwah itu perlulah dieratkan.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada seramai 20 orang asnaf terpilih sempena program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke-5 bagi tahun 2024 yang diadakan di Masjid Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di sini semalam.
Setiap penerima mendapat RM700 daripada MAIPs dengan jumlah penuh pada kali ini bernilai RM14,000.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Turut hadir ialah para peserta yang menghadiri Persidangan Majlis Ilmuan Nusantara (MIN) kali pertama bagi tahun 2024 yang diadakan mengambil sempena kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025.
Baginda turut berharap agar persidangan MIN yang diadakan buat pertama kali di Perlis ini mampu mewujudkan ruang kerjasama dakwah dan juga kebajikan yang bersifat serantau.
Titah baginda, kepelbagaiaan idea dan pandangan juga akan mampu membantu mereka dalam meneruskan kerja-kerja kepada Allah SWT ini dengan lebih gigih dan cemerlang. -UTUSAN






