KUALA TERENGGANU : Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Kedai Payang di sini kepada satu nama yang lain.
Beliau berkata, ini kerana nama Pasar Kedai Payang itu sendiri mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu.
“Apa yang mahu dicapai oleh kerajaan negeri ialah menjadikan Pasar Kedai Payang sebagai ‘pasar utama’ bagi Terengganu yang menjadi tumpuan dan pusat aktiviti pelancongan.
“Ini bersesuaian dengan sifat serta sejarahnya serta kedudukannya di tengah-tengah negeri Terengganu dan pesisir pantai timur umumnya,” katanya di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mencadangkan agar Pasar Payang 1 dijenamakan semula sebagai Central Market@ Pasar Payang bagi menjadikan Terengganu sebagai destinasi budaya dan warisan negara kepada pelancong luar.
Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu bertujuan dapat menarik lebih ramai pengunjung ke Pasar Payang sekali gus menjadikan ia sebagai pasar pelancongan dengan menawarkan persekitaran yang menarik dan moden.
Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, penjelasan itu adalah bagi menjawab persoalan yang dilontarkan banyak pihak setelah berita mengenainya tular.
“Ramai yang mengajukan pertanyaan berkaitan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan penukaran nama Pasar Kedai Payang kepada Central Market @ Pasar Payang.
“Justeru, ditekankan bahawa kerajaan Terengganu tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Payang kepada nama yang lain,” katanya. – UTUSAN






